Lebih 50 kucing jantan jalanan bakal dimandulkan

Kucing jantan jalanan akan ditangkap dan dimandulkan bagi mengawal pembiakan pada program pemandulan haiwan yang diadakan pada 7 Oktober ini.
Kucing jantan jalanan akan ditangkap dan dimandulkan bagi mengawal pembiakan pada program pemandulan haiwan yang diadakan pada 7 Oktober ini.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Lebih 50 kucing jantan jalanan akan dimandulkan bagi mengawal pembiakan pada program pemandulan haiwan itu yang diadakan pada 7 Oktober ini.

Pengerusi Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang (SKJP), Jurina Abdul Rani berkata, bagi tujuan itu, operasi menangkap kucing jalanan akan dijalankan di lima lokasi yang telah dikenal pasti di sekitar daerah ini.

Menurutnya, selepas penangkapan dibuat, pemeriksaan dan pemantauan kesihatan haiwan terbabit akan dilakukan sebelum dimandulkan.

"Hanya kucing jantan yang sihat dan berumur lebih setahun sahaja akan melalui proses pemandulan. Kita sudah maklumkan program ini kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang (JPVP) dan proses pemandulan ini dilakukan pegawai perubatan di klinik haiwan swasta di Kuantan serta proses memerlukan tiga hari.

"Selepas pemandulan, kucing akan dikuarantin selama dua hari sebelum dilepaskan semula ke lokasi ditemui," katanya ketika ditemui di Bandar Kuantan pada Ahad.

Beliau menjelaskan, program itu diadakan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), JPVP dan Pasukan Tindakan Cemas Malaysia (PTCM) Pahang membabitkan Unit Kebajikan Haiwan dan Alam Sekitar.

Tambah Jurina, pihaknya turut memberi peluang kepada individu yang berminat untuk mengambil kucing yang sudah dimandulkan sebagai haiwan peliharaan.

"Jika ada berminat untuk memelihara haiwan ini, kita alu-alukan dan tidak mengenakan sebarang bayaran, syarat utama ialah minat dengan kucing.

Artikel Berkaitan:

“Kita harapkan program yang diadakan itu dapat mengurangkan pembiakan kucing jalanan di daerah ini yang dilihat semakin bertambah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.