Jiwa kental Syafiqah sertai Muay Thai

Syafiqah (tiga dari kanan) menjalani latihan di sebuah pusat latihan mempertahankan diri di Taman Mount Austin, Johor Bahru.
Syafiqah (tiga dari kanan) menjalani latihan di sebuah pusat latihan mempertahankan diri di Taman Mount Austin, Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Peluang demi peluang yang diberikan mendorong keberanian Nurul Syafiqah Amirah Rosli, 18, untuk lebih berjaya dalam sukan Muay Thai yang lebih sinonim dengan lelaki.

Syafiqah berkata, ketika berusia 15 tahun dia mula didedahkan dengan sukan itu oleh abangnya Md Shfid Rosli, 30, yang merupakan jurulatih Muay Thai.

"Saya tertarik untuk meceburi Muay Thai selepas mengikut latihan bersama abang. Muay Thai merupakan seni mempertahankan diri yang mencabar.

"Selepas menjalani latihan secara konsisten, abang membawa saya menyertai pertandingan Muay Thai remaja peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur pada tahun 2019. Di situ, saya dapat pendedahan dan keberanian," katanya ketika ditemui baru- baru ini.

Menurut Syafiqah, bertitik tolak daripada penyertaanya dalam pertandingan itu, dia seterusnya mengorak langkah lebih berani beraksi pada kejohanan Muay Thai yang lebih besar.

Syafiqah giat menjalani latihan sebagai persediaan untuk ke Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Phuket Thailand.
Syafiqah giat menjalani latihan sebagai persediaan untuk ke Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Phuket Thailand.

Hasilnya, dia kini sudah menyertai sebanyak 15 kejohonan Muay Thai di peringkat kebangsaan dan negeri selain turut terpilih menjadi atlet pada Sukan Malaysia (Sukma) 2020 Johor.

"Pertama kali beraksi di atas gelanggang rasa gementar, namun selepas mengikuti latihan dan mendapat bimbingan jurulatih, saya semakin yakin.

Artikel Berkaitan:

"Bukan mudah untuk menang kerana Muay Thai merupakan sukan lasak, kadangkala saya berdepan dengan lawan yang agresif serta jauh lebih berpengalaman," katanya.

Anak bongsu daripada dua beradik ini memberitahu, kecederaan antara risiko yang dihadapi ketika menyertai kejohanan Muay Thai, namun ia tidak sedikit pun menggentarkan semangatnya.

Berkongsi perkembangan terkininya, Syafiqah berkata, dia bakal menyertai Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Phuket pada Disember depan.

"Buat masa sekarang saya menjalani latihan di sebuah pusat mempertahankan diri di Taman Mount Austin.

"Ini kali pertama saya menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa dan bakal bersaing dalam kategori 51 hingga 54 kilogram (kg).

"Peluang diberikan untuk bertanding dalam kejohanan ini amat saya hargai kerana dapat timba pengalaman baharu," katanya.

Syafiqah mendapat bimbingan daripada abangnya Md Shfid yang juga merupakan jurulatih Muay Thai.
Syafiqah mendapat bimbingan daripada abangnya Md Shfid yang juga merupakan jurulatih Muay Thai.

Sementara itu, Md Shfid berkata, Syafiqah merupakan antara dua remaja perempuan dari Johor yang mewakili negara dalam kejohanan itu kelak.

"Difahamkan 60 negara akan menyertai kejohanan itu nanti. Dari segi persiapan dan latihan semuanya berjalan lancar selain turut mendapat bantuan di bawah Persatuan Muay Thai Johor.

"Saya harapkan Syafiqah mampu memberikan yang terbaik dan mengharumkan nama negara kelak," katanya.