Azab tusukan duri landak laut

Luzman ditolak ke bilik bedah HSNZ Kuala Terengganu bagi proses mencabut duri landak laut yang dipijak ketika mandi-manda bersama lima ahli keluarganya di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus pada Rabu. Foto Ihsan keluarga
Luzman ditolak ke bilik bedah HSNZ Kuala Terengganu bagi proses mencabut duri landak laut yang dipijak ketika mandi-manda bersama lima ahli keluarganya di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus pada Rabu. Foto Ihsan keluarga
A
A
A

KUALA NERUS - Keriangan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mandi-manda bersama lima ahli keluarganya di Pantai Tok Jembal, di sini bertukar tragedi apabila kakinya terkena duri landak laut, dalam kejadian pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, mangsa, Muhammad Luzman Aqil Kasmizan, 11, cedera selepas kedua-dua belah kakinya terkena 34 tusukan duri haiwan laut berkenaan.

Ibu saudaranya, Nurlaila Salim, 38, berkata, ketika kejadian dia menemani Luzman bersama empat sepupunya mandi di pantai tersebut.

"Kira-kira 10 minit kemudian, saya terdengar jeritan Luzman. Ingatkan dia terpijak batu, tetapi bunyi teriakannya semakin kuat dengan esakan tangisan.

“Terkejut dengan kejadian itu, abang sepupu Luzman segera mengangkatnya sebelum membawanya ke kawasan daratan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pada Ahad.

Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat banyak kesan tusukan pada kedua-dua belah kaki Luzman dan dipercayai daripada duri landak laut.

Jelasnya lagi, melihat keadaan Luzman yang menangis teresak-esak, beberapa ahli keluarga menenangkannya sebelum mengambil keputusan menghantarnya ke HSNZ.

"Selepas dirawat, kami dimaklumkan mengenai landak laut itu oleh doktor bertugas yang mendakwa sudah ramai penduduk terpijak hidupan laut itu di pantai sama sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua belah kaki Luzman dibalut selepas selesai proses mencabut kesemua duri landak laut di HSNZ.Foto Ihsan keluarga
Kedua-dua belah kaki Luzman dibalut selepas selesai proses mencabut kesemua duri landak laut di HSNZ.Foto Ihsan keluarga

Katanya, Luzman terus dibawa ke bilik x-ray bagi memastikan 'kedudukan' duri tersebut sebelum doktor memaklumkan Luzman perlu dibedah untuk proses mencabut duri haiwan tersebut keesokan harinya (Khamis) dan prosedurnya mengambil masa antara dua hingga tiga jam.

"Kami dimaklumkan terdapat 34 tusukan duri di tapak kakinya iaitu 30 di kaki kanan dan empat tusukan di kaki kiri.

"Alhamdullilah, kami diberitahu kesemua duri di kedua-dua belah kakinya berjaya dikeluarkan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Taman Laut Negara, Jabatan Perikanan Malaysia, Mohamad Saupi Ismail berkata, spesies landak laut yang sering ditemui di perairan Terengganu dikenali diadema setosum, yang mempunyai duri hitam yang panjang.

"Biasanya haiwan eksotik ini sering ditemui di kawasan terumbu karang di perairan Malaysia termasuk di Terengganu. Memandangkan diet utama landak laut adalah alga, maka kehadiran landak laut dipengaruhi oleh jumlah alga di sesuatu kawasan tersebut, termasuk di kawasan pantai.

"Pembiakan landak laut spesies diadema boleh bermusim atau sepanjang tahun bergantung pada lokasi dan populasi. Suhu penentu kepada musim pembiakan landak laut ini perlu melebihi 25 darjah Celsius. Jadi, bagi negara-negara di khatulistiwa termasuk Malaysia, musim pembiakan boleh menjadi sepanjang tahun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Jelas beliau, di perairan Terengganu, penemuan landak laut ini sering direkodkan di pulau- pulau seperti Pulau Bidong dan pulau- pulau taman laut.

"Di kawasan pantai, landak laut pernah dilaporkan kehadirannya oleh akhbar tempatan di Pantai Tok Jembal pada tahun lepas. Bagaimanapun, tiada rekod rasmi pernah dikeluarkan di sepanjang perairan pantai Terengganu sebelum ini," katanya.

Mohamad Saupi berkata, sekiranya terdapat lokasi yang telah dikenal pasti mempunyai banyak spesies ini (landak laut), seharusnya pihak berkuasa meletakkan papan peringatan atau pemberitahuan kepada pengunjung agar mereka lebih berhati-hati sepanjang berada di lokasi terbabit.

"Cadangan ini bukan hanya untuk landak laut, tetapi bagi spesies yang boleh mendatangkan mudarat kepada orang awam seperti obor- obor dan lain-lain," katanya.