69 kampung orang asli di Pahang terima internet tahun depan

Kampung orang asli di Rening, Cameron Highlands antara penempatan akan menerima jaringan internet daripada teknologi satelit. Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (Gambar Kecil).
Kampung orang asli di Rening, Cameron Highlands antara penempatan akan menerima jaringan internet daripada teknologi satelit. Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (Gambar Kecil).
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 69 kampung orang asli seluruh Pahang dijangka memperoleh kemudahan khidmat internet pada penghujung Januari tahun hadapan.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, jangkaan itu dibuat susulan kerja-kerja pelaksanaan projek internet jalur lebar satelit di kawasan penduduk orang asli yang sudah bermula minggu ini.

"Keputusan ini diperoleh selepas mesyuarat penyelarasan liputan internet kampung orang asli di Pahang bersama Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang, Mohd Faisal Md Nor dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta Unit Hal Ehwal Orang Asli Pejabat Menteri Besar yang dipengerusikan saya pada Ogos lalu.

"Jadi, pihak kita bersama syarikat yang dilantik telah mengadakan lawatan kerja ke penempatan orang asli yang disasarkan dalam projek ini. Kita akan mulakan projek ini di kampung orang asli Terakit dan Rening di Hulu Telom, Cameron Highlands," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau menjelaskan, projek yang dikenali sebagai akses tanpa wayar jalur lebar (BWA) adalah salah satu daripada inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) di bawah usaha kerajaan Pahang.

Katanya, kerajaan Pahang mahu menyediakan perkhidmatan internet lebih baik di kawasan perkampungan orang asli terutamanya yang berada jauh di pedalaman.

Tambahnya, ini bagi memastikan masyarakat orang asli di Pahang tidak terpinggir dalam arus kemajuan teknologi, komunikasi dan dapat bersama-sama menikmati kemudahan internet yang disediakan kerajaan dengan lebih berkesan.

"Walau bagaimanapun, memandangkan kawasan penempatan orang asli yang disasarkan terletak jauh di pedalaman, pelaksanaan projek ini akan menggunakan teknologi satelit (VSAT) yang dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.

Artikel Berkaitan:

"Tempoh sasaran siap projek ini dijangkakan selewat-lewatnya penghujung Januari tahun depan tertakluk kepada proses-proses pelaksanaan yang perlu dipatuhi.

"Untuk makluman, pelaksanaan internet jalur lebar di perkampungan orang asli Pahang melalui dua peringkat iaitu menggunakan jalur lebar satelit dan pembinaan menara-menara telekomunkasi baharu," katanya.

Mohammad Fakhruddin berkata, terdapat lebih kurang 261 kampung orang asli di negeri ini dan 116 kampung telah diberi perhatian oleh kerajaan Pahang dan SKMM melalui pelbagai projek di bawah Jendela Fasa Satu (2020 hingga 2022).

Ujarnya, ini sudah cukup membuktikan bahawa kerajaan Pahang amat serius dan sedang berusaha sebaik mungkin mempertingkatkan pencapaian internet di seluruh negeri ini termasuk di kampung orang asli.