Manchester City tahap terbaik tundukkan Liverpool

Guardiola (kanan) mempertaruhkan rekod pertemuan kedua-dua kelab menjelang kunjungan ke Anfield pada Ahad. FOTO: AFP
Guardiola (kanan) mempertaruhkan rekod pertemuan kedua-dua kelab menjelang kunjungan ke Anfield pada Ahad. FOTO: AFP
A
A
A

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola gembira dengan kesebelasan pemain yang dimilikinya ketika ini menjelang pertemuan dengan Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield pada Ahad.

Menurutnya, pasukan kendaliannya itu juga berada pada tahap terbaik untuk berdepan Liverpool dengan rekod pertemuan EPL lebih memihak The Citizens iaitu tiga kemenangan, dua seri dan satu kekalahan dalam enam pertemuan terakhir.

Malah, jika City berjaya menundukkan Liverpool, mereka akan memintas pasukan kendalian Jurgen Klopp itu untuk berada di kedudukan teratas liga.

"10 perlawanan adalah sangat penting untuk tidak berada jauh dengan pasukan di kedudukan teratas liga. Pada tahun kami menang kejuaraan kedua EPL berturut-turut pada 2018/19, kami berada tujuh mata di belakang Liverpool pada Januari dan kami berjaya menang liga.

"Saya tidak mahu melangkah ke belakang dan menambah baik apa yang telah kami lakukan. Kami boleh menjadi lebih bagus di beberapa bahagian. Secara umumnya, saya gembira dengan pasukan yang saya ada ketika ini dan cara kami bermain.

"Namun, saya melihat kedudukan liga selepas 10-15 perlawanan. Untuk berbeza satu atau dua mata ketika ini tidak penting," katanya.

Dalam masa sama, Guardiola turut mengakui pasukannya berdepan tentangan sengit untuk mempertahankan kejuaraan EPL yang dimenangi mereka musim lalu selain menegaskan Liverpool antara pencabar paling digeruni.

"Ketika saya pertama kali tiba di sini, Liverpool bukan pasukan juara. Tetapi, setahun selepas itu mereka sangat bagus dan sentiasa mengekori kami. Musim lalu mereka menghadapi banyak masalah kecederaan pemain, dan jika mereka tidak menghadapi masalah tersebut, saya yakin saingan akan menjadi berbeza.

Artikel Berkaitan:

"Empat tahun berturut-turut City dan Liverpool sentiasa bersaing. Namun dalam EPL, banyak pasukan yang mampu untuk menjadi pencabar kejuaraan liga," katanya.