Sastera indie murnikan diri

Karya indie dikatakan berjaya melonjakkan kembali minat membaca khususnya dalam kalangan generasi muda.
Karya indie dikatakan berjaya melonjakkan kembali minat membaca khususnya dalam kalangan generasi muda.
A
A
A

SASTERA indie dapat dijelmakan menjadi sebuah blok sastera yang berpengaruh, seandainya digerakkan dalam suasana sejajar atau paralel dengan jalur sastera kebangsaan. Sekurang-kurangnya, sastera indie dapat mencipta dirinya sebagai sebuah genre sastera dan tidak mustahil sebagai sebuah aliran sastera.

Namun, jika ia tetap berpegang kepada sikap penentangannya atau memberontak terhadap sastera perdana dan tidak mahu berkompromi daripada segala aspeknya, maka kedua-duanya akan mencipta dunia berasingan. Sangat diharapkan kedua-duanya konsisten dengan objektif untuk mengangkat martabat dan kedudukan sastera tanah air.

Indie istilahnya berasal daripada independent iaitu kebebasan. Berhasrat melepaskan daripada ikatan, belenggu, hegemoni dan penjajahan. Dalam konteks ini, segolongan pengusaha membina rumah penerbitannya secara kolektif atau secara individu dan mandiri.

Pengarangnya pula menghasilkan karya yang membezakan dirinya daripada sasterawan mapan. Jelas, sastera indie mempunyai dua entiti iaitu sebagai penerbit dan pengarang, pertama berkaitan dengan produksi dan kedua sebagai sumber hasilan. Kedua-duanya cuba melepaskan daripada kekuasaan, hukum dan birokrasi sastera perdana.

Sebagai sebuah institusi, sastera perdana memiliki perlembagaan dan dinaungi badan-badan berkanun kerajaan atau swasta serta pusat pengajian tinggi. Dewan Bahasa dan Pustaka, Fajar Bakti, Utusan Melayu, Kumpulan Karangkraf dan penerbitan universiti mempunyai kekuatan serta terbukti dengan banyaknya hasilan penerbitannya. Hanya karya berkualiti dan baku akan ditangani. Setiap manuskrip menjalani proses penilaian yang ketat.

Bermula sekitar 2000-an, implikasi asakan anjakan paradigma dan transformasi budaya yang didukung para cendekia dan moralis zaman, munculnya gerakan-gerakan pembebasan daripada belenggu pihak mapan dan establisymen. Dengan gagasan sama, mereka membina persepakatan yang sama, menganut kesetaraan sosial yang sama, menikmati kebebasan bersama, seolah-olah mereka membina sebuah kontrak sosial secara bersama.

Pondok penerbitan

Berbekal dengan kudrat dan keyakinan, mereka mendirikan pondok-pondok penerbitan. Ternyata mendapat reaksi lumayan. Antaranya yang prolifik ialah Penerbitan Fixi, Lejen Press, The Patriots, Gerak Budaya, Dubook Press dan Studio Anai-anai.

Artikel Berkaitan:

Ramai pengarang tidak dapat menembusi penerbit perdana mendekati penerbit indie. Dengan kemudahan cetakan yang murah dan promosi meluas melalui media sosial, kemunculan karya yang dipanggil indie semakin mendominasi, bahkan menyaingi jualan dan populariti karya arus perdana. Ia telah menjadi fenomena semasa. Tidak seperti dahulu, penulis biasanya bermula daripada akhbar dan majalah arus perdana.

Karya indie tidak mempunyai ciri-ciri penulisan tertentu. Malah, penciptaannya berbentuk bebas dan tidak terikat. Kurang bergantung kepada editor dan hanya dikerjakan secara sendiri. Yang penting dapat mengekspresikan apa yang hendak disampaikan tanpa ada halangan.

Namun, ada yang terbabas, menjadi wahana luahan mentah, syok sendiri, merapu, kesat dan biadab. Karya tanpa tapisan, tanpa saringan tanpa jaringan. Asal dapat dijual memenuhi selera masyarakat. Dikatakan karyanya sebagai imitasi dan refleksi sosial yang dipenuhi dengan kacau-bilau, krisis politik, keruntuhan akhlak dan hilang kepercayaan dan kehormatan.

Sesuatu yang istimewa, sastera indie berhasil menarik khalayak. Manusia dengan eksistensinya, yang terpinggir dan marginal, diratah oleh khalayak baharu dalam kalangan belia. Ranah sastera indie sudah meraih kedudukan, malah istana penerbitan.

Mereka meniti daripada sebuah jambatan, kemudiannya berani menyeberangi sejarah. Mereka sedar berhadapan dengan institusi yang sudah memiliki kuasa grand narrative, bukanlah suatu usaha yang boleh dilakukan secara calang-calang.

Hebatnya, teks-teks dihasilkan mempunyai nilai baku dan berkualiti, dengan pelbagai pemikiran yang berkembang mengikuti aliran dilentur oleh takdir sejarah sastera dunia. Hasil gerakannya selama dua dekad itu, hampir mempunyai konsep, ciri-ciri, genre, konvensi dan peribadinya. Juga memiliki semangat zamannya, zeitgeist yang tersendiri.

Penerbit maggi

Bagaimanapun mereka tidak dapat memadamkan persepsi bahawa penerbit indie adalah penerbit maggi, kurang berdampak murni. Pengarangnya pula mendeskripsikan nafsu, primitif dan temperamen yang tak terkontrol. Yang tabu dimaniskan menjadi tebu. Bahasanya pula aneh, mengejutkan juga mengerikan.

Cuba kita tinjau sastera indie di Indonesia, terkenal dengan Gramedia, Republika dan Mizan sebagai penerbit perdana, untuk menembusinya sangat sukar. Dekad 2000-an menyaksikan banyaknya penerbitan indie, antaranya Penerbit Wahyu, Kalbu, Aladin dan Qaswa. Novelis Islam menubuhkan rumah penerbitan secara bersama. Di sekitaran Jakarta sahaja lebih 40 buah penerbit mandiri telah menerbitkan kira-kira 500 novel Islam. Kini penerbitan dan pengarangnya sudah diterima sebagai sastera arus perdana. Di Singapura satu-satunya penerbit mapan ialah Pustaka Nasional tetapi sangat kurang menerbitkan karya kreatif. Muncullah penerbit indie seperti Penerbit Persama, Penerbit Media dan Unggun Kreatif. Pengarang veteran, muda dan pemula menghantar karya kepada penerbitan mandiri ini. Kini mereka telah menguasai penerbitan karya sastera di negara itu dan pengarangnya mendapat pelbagai hadiah kesusasteraan. Oleh sebab subjek ini sering diwacanakan, banyaklah pro dan kontranya. Menurut teori sastera fenomenologi, apabila sudah memiliki unsur-unsur positif dan negatifnya, ia memerlukan kajian kepastian mutlak supaya dapat dijelaskan penggejalaannya.

Ahli falsafah Jerman, Edmund Husserl mencadangkan dilakukan pembersihan dengan meninggalkan amalan buruk menggantikannya dengan yang murni. Dalam konteks ini, sastera indie hendaklah berusaha meninggalkan segala anasir negatif dalam penerbitan dan penulisannya.

Perlunya kesedaran secara empirikal juga transendental supaya menghasilkan karya beretika, berbudaya dan bertanggungjawab. Dengan itu, sastera indie akan menjadi blok sastera dihormati dan sama-sama berdiri bersandingan dengan sastera perdana.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia