RMK12: Harapan masyarakat India

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan RMK12, pada Isnin. -Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan RMK12, pada Isnin. -Foto Bernama
A
A
A

PENANTIAN pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) lebih setahun lalu berakhir selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan pelan pembangunan nasional lima tahun negara itu di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia pada Isnin lalu.

RMK12 bertempoh dari 2021 hingga 2025 mendukung objektif ‘Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan’ itu menggariskan matlamat dan strategi komprehensif bagi menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi, kemakmuran negara diagih secara saksama serta mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Meskipun Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang kini berada dalam fasa pemulihan sektor kesihatan dan ekonomi, kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM400 bilion untuk membiayai projek sambungan RMK11 dan projek baharu di bawah RMK12.

Akhbar harian Tamil, Makkal Osai meluahkan rasa bersyukur di mana kaum minoriti India di negara ini menyambut baik pembentangan RMK12 yang berjaya menggazetkan pelaksanaan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) dilancarkan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2017.

Pada pembentangan RMK12 kali ini, pembangunan inklusif masyarakat India turut diberi perhatian seimbang.

Ismail Sabri dalam pembentangannya jelas menyatakan bahawa masyarakat India juga perlu dibantu khususnya berpendapatan rendah dan dalam mencapai pembangunan inklusif, kesejahteraan mereka akan terus diberi keutamaan selaras dengan pelan MIB.

Seterusnya, pihak kerajaan akan memberi sokongan penuh kepada kaum minoriti India dengan menyediakan program peningkatan kemahiran dan bantuan kewangan bersasar serta peluang keusahawanan.

Dalam pada itu, parti politik MIC tampil mengesyorkan pembentukan sebuah jawatankuasa khas untuk mengimplementasikan segala perancangan yang dibentangkan itu.Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran berkata, barisan kepimpinan dan jentera parti itu sedia memberi sokongan padu kepada pengenalan jawatankuasa berkenaan dan pelaksanaan pelan-pelan tindakan bagi merealisasikan pembangunan inklusif kaum India.

Artikel Berkaitan:

Jelas Vigneswaran lagi, pelan MIB yang telah tertangguh sekian lama itu kini mendapat nafas baharu dan partinya sentiasa bersuara untuk kedudukan serta kepentingan masyarakat India.Ujar beliau, pihak MIC bakal berjumpa dengan Perdana Menteri bagi membincangkan mengenai pembentukan jawatankuasa khas demi memastikan kesemua janji RMK12 dan MIB ditunaikan secara berperingkat.

Pencapaian

Concerned UM Indian Graduates (CUMIG), sebuah fraterniti graduan-graduan India Universiti Malaya tampil mengemukakan cadangan cukup bernas dan berkepentingan bersama demi pelaksanaan RMK12 dapat mencapai matlamat-matlamat utamanya.

CUMIG turut mencadangkan kandungan pelan MIB dikaji semula dan indikator pencapaian diselaraskan dengan RMK12.

Pendekatan tersebut penting agar pelan MIB diimplementasikan dapat diperbaiki dan ditambah baik supaya pelaksanaan inisiatif itu benar-benar mendatangkan hasil.

Fraterniti berkenaan juga mengesyorkan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) diberikan tanggungjawab untuk memantau dan melaksanakan segala perancangan berkaitan masyarakat India di mana pengoperasian unit itu perlu dipindahkan dari Kementerian Perpaduan Negara ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) di bawah seliaan Perdana Menteri.

RMK12 dan pembentangannya mendapat respons positif daripada variasi pihak berkepentingan dalam kalangan kaum minoriti India yang melihat pelaksanaan pelan pembangunan nasional itu mewujudkan peluang cerah kepada masa depan masyarakat India dari kanak-kanak, belia hingga warga emas.

Kaum minoriti India amat berharap kesemua perancangan yang dibentangkan itu dapat dilaksanakan seperti yang dijanjikan melalui pelan-pelan tindakan terperinci dalam tempoh lima tahun ini supaya taraf hidup masyarakat India ditingkatkan.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor