X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Lebih 177,000 warga emas dijangkiti Covid-19 setakat 30 September

Dr Noor Hisham Abdullah
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 177,220 warga emas atau 7.9 peratus telah dijangkiti Covid-19 setakat 30 September lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 106 kluster membabitkan warga emas dilaporkan dengan 3,598 kes positif dan 220 kematian.

Katanya, selain itu, sehingga minggu epidemiologi ke-38 tahun ini, sebanyak 14,248 atau 56.6 peratus kes kematian akibat Covid-19 melibatkan warga emas dilaporkan.

“Walau bagaimanapun, trend ini mula menunjukkan penurunan selaras dengan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) 2021.

“Sehingga 29 September, seramai 3,148,438 (87.4 peratus) warga emas telah lengkap divaksin dan seramai 3,365,443 (93.4 peratus) warga emas telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dr Noor Hisham juga berkata, setakat 26 September, seramai 19,641 (66.8 peratus) penghuni dan penjaga pusat jagaan warga emas telah menerima dos lengkap dan pemberian vaksin akan diteruskan bagi memastikan golongan berisiko tinggi itu terlindung daripada jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, fasa dua PICK untuk warga emas dan rentan, yang bermula pada April lepas, mula menunjukkan keberkesanan apabila statistik Hospital Sungai Buloh menyaksikan penurunan ketara kemasukan pesakit warga emas ke hospital bagi kategori empat serta lima berbanding golongan dewasa berumur lingkungan 20 hingga 59 tahun.

Katanya, selari dengan langkah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengisytiharkan 1 Oktober sebagai Hari Warga Emas Antarabangsa, Kementerian Kesihatan komited dalam usaha membangunkan sistem kesihatan negara khususnya untuk memberi sokongan kepada golongan itu.

Dr Noor Hisham berkata, langkah itu penting sebagai persediaan mendepani pertambahan jumlah penduduk berusia 60 tahun ke atas dan PBB mengunjurkan Malaysia berdepan penuaan penduduk sekitar tahun 2030 apabila peratusan golongan itu mencecah 15 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi.

Mengulas perkembangan kes harian Covid-19, beliau berkata daripada 10,915 kes baharu, sebanyak 1.3 peratus atau 139 kes adalah kategori tiga, empat dan lima manakala baki 98.7 peratus atau 10,776 kes lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.

Katanya, sebanyak 15,396 kes sembuh direkodkan pada Sabtu manakala 888 orang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi merangkumi 832 kes disahkan, 56 disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 492 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 380 yang disahkan positif Covid-19 manakala 112 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Beliau juga berkata, 10 kluster baharu dikenal pasti melibatkan empat di tempat kerja, empat komuniti dan dua kumpulan berisiko. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!