Kerajaan tinjau peruntukan undang-undang yang kritikal dalam MA63

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan dengan bantuan Pejabat Peguam Negara akan melihat kemungkinan meminda beberapa peruntukan undang-undang yang kritikal dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi mengembalikan hak penduduk Sabah dan Sarawak sebagaimana yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini merupakan salah satu keutamaan pihaknya dan beliau meletakkan sasaran menyiapkan proses bagi membentang rang undang-undang (RUU) berkaitan di Parlimen dalam tempoh 100 hari, menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi dirinya.

“Kami telah merangka rancangan pelaksanaan yang menyeluruh bagi menjayakan perkara ini, dan ia dilihat bergerak mengikut jadual. Kami optimis dapat menyiapkannya mengikut tempoh 100 hari yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas beliau melawat Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun Wan Junaidi menjelaskan bahawa rang undang-undang itu memerlukan sokongan suara ramai untuk diluluskan, sehubungan itu ia memerlukan libat urus yang mendalam dalam kalangan pemegang taruh, yakni ahli Parlimen dan rakyat.

“Inilah pada dasarnya apa yang sedang saya lakukan, bertemu dengan pemimpin, pegawai kerajaan tertinggi di Sabah dan Sarawak, menjelaskan kepada mereka mengenai perkara ini. Ini agenda yang penting bagi kita dan saya harap penduduk Sabah dan Sarawak akan menyokongnya tanpa mengira pandangan politik,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memfokuskan pada inisiatif transformasi kerajaan serta parlimen dan meneliti MA63 sebagai sebahagian daripada indeks prestasi utama (KPI) 100 hari.

Empat bidang fokus utama yang perlu dilakukan oleh pihaknya adalah menyiapkan proses membentang satu RUU yang mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun; untuk menyiapkan proses membentang RUU bagi membolehkan pelantikan timbalan Speaker Dewan Rakyat yang ketiga; dan menyiapkan proses bagi membentang beberapa RUU yang kritikal untuk mengkaji isu berkaitan hak penduduk Sabah dan Sarawak di bawah MA63.

Dr Wan Junaidi berkata, beliau optimis bahawa kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, komited dalam pembangunan Sabah dan Sarawak, yang merupakan salah satu bidang keutamaan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Artikel Berkaitan:

"Kebenaran memang pahit untuk diterima... walaupun setelah mencapai kemerdekaan selama 58 tahun, lebih dari 40 peratus penduduk di Borneo masih tinggal di kawasan luar bandar, kekurangan kemudahan dan prasarana asas seperti ketersambungan, komunikasi, elektrik, pendidikan dan juga penjagaan kesihatan.

"Saya harap di bawah RMK12, lebih banyak pembangunan dan kemajuan akan berlaku di Sabah dan Sarawak supaya kita dapat menikmati kemudahan dan infrastruktur yang sama dengan penduduk di Semenanjung," tambahnya. - Bernama