PN tolak permohonan LDP

Muhyiddin bersama Hajiji pada sidang media selepas Mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Sabah pada Sabtu. - Foto Bernama
Muhyiddin bersama Hajiji pada sidang media selepas Mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Sabah pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Pimpinan Perikatan Nasional (PN) mengambil keputusan untuk tidak menerima permohonan daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) bagi menyertai kerjasama itu.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu diambil selepas perbincangan dilakukan di peringkat PN dan hasil daripada konsultasi.

"Kita ada bincang di peringkat PN dan selepas konsultasi kita buat dengan pihak Datuk Hajiji (Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor) rakan di sini, bahawa kita tidak menerima permohonan atau pun kita menolak permohonan dari LDP," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Sabah, di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, permohonan daripada parti lain juga akan dinilai sama ada boleh menambah baik kedudukan atau sebaliknya.

"Kita akan kaji dan teliti," katanya.

Sebelum itu, diminta mengulas berhubung pembahagian kerusi terhadap dua lagi parti tempatan yang menyertai PN, beliau berkata, perkara itu belum dibincangkan lagi.

"Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sudah berada dalam PN Pusat. SAPP dan STAR (kerusi) belum dibincangkan lagi.

"Ini akan kita bincangkan antara kita dan STAR memang antara parti dalam PN. Jadi bila kita bincang di peringkat nasional, tetapi banyak di Sabah, maka akan dibincangkan sekali gus dengan mengambil kira semua kepentingan parti lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Mac lalu, Majlis Tertinggi LDP memaklumkan bahawa telah meluluskan usul untuk menyertai PN dan keputusan itu diambil selepas melihat kesungguhan PN dalam menyelesaikan masalah rakyat.