Tiga pulau akan diwarta Taman Laut Negara

Ahmad (tengah) Norhizam (kanan) menyerahkan ikan nemo untuk dilepaskan di perairan Pulau Udan di sini, pada Sabtu.
Ahmad (tengah) Norhizam (kanan) menyerahkan ikan nemo untuk dilepaskan di perairan Pulau Udan di sini, pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Tiga pulau bakal menjadi pulau pertama di Melaka untuk diwartakan sebagai Taman Laut Negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, bagaimanapun pewartaan di Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol belum mempunyai tarikh khusus dan sedang menunggu kelulusan kerajaan negeri.

Menurutnya, pewartaan membabitkan radius satu batu nautika dari pantai sekali gus akan menambahkan bilangan 42 buah taman laut yang telah wujud di negara ini.

Katanya, ketiga-tiga pulau ini memiliki keunikan khazanah lautnya tersendiri dan melalui pewartaan ini kelestarian kepelbagaian biodiversiti marin di kawasan perairan akan lebih terjamin.

"Keunikan khazanah laut ini akan dijadikan sebagai tarikan dan bila diwartakan akan menarik kehadiran pelancong dalam masa sama kita nak lihat khazanah laut ini menjadi warisan," katanya.

Ahmad (tengah) dan Haslina(tiga, kanan) bergambar papan tanda Pulau Undan ketika lawatan kerja di pulau itu pada Sabtu.
Ahmad (tengah) dan Haslina(tiga, kanan) bergambar papan tanda Pulau Undan ketika lawatan kerja di pulau itu pada Sabtu.

Ahmad berkata demikian kepada pemberita ketika lawatan kerja ke Pulau Undan di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Haslina Abdul Hamid, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Kamel Mohamad dan Exco Pertanian Negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut beliau berkata, kementerian juga telah memperuntukkan sebanyak RM110,000 kepada Jabatan Perikanan Negeri untuk melaksanakan aktiviti dan kerja-kerja pemantuan habitat, rehabilitasi, restorasi karang, perolehan peralatan, selaman selain program meminimumkan ancaman terhadap hidupan marin di ketiga-tiga pulau itu.

"Diharapkan, ia dapat memberikan limpahan ekonomi kepada komuniti setempat, pengusaha bot dan inap desa, hotel dan sebagainya," kata beliau.