Lapor polis individu sebar maklumat palsu vaksin remaja

Dr Noor Azmi (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Tanjung Bugis di sini pada Sabtu.
Dr Noor Azmi (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Tanjung Bugis di sini pada Sabtu.
A
A
A

BAGAN SERAI - Laporan polis dan tindakan perundangan akan diambil terhadap individu dan pihak yang menyebarkan maklumat tidak benar berkaitan pemberian vaksinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kementerian perlu bertindak tegas dalam perkara itu kerana penyebaran maklumat tidak tepat berkaitan kesan vaksin boleh mengganggu pelaksanaan imunisasi kepada golongan remaja berusia 13 hingga 17 tahun berkenaan.

Menurutnya, sejak PICK Remaja dimulakan secara rasmi di seluruh negara 20 September lepas, pelbagai cerita dan hantaran video tidak benar berkaitan kesan vaksin tular di media sosial sehingga menimbulkan kegusaran dan kekeliruan dalam kalangan ibu bapa dan anak-anak.

"Ini satu perkara yang tidak baik kerana menjadikan orang ramai takut dan naik bimbang, kita tidak mahu perjalanan vaksinasi kepada kumpulan remaja terganggu sedangkan ini langkah kita untuk pastikan mereka selamat kembali ke sekolah.

"Jadi kita beri amaran kepada sesiapa yang menghantar atau menyebar maklumat-maklumat tidak benar ini, kita akan buat laporan polis dan ambil tindakan keras," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Tanjung Bugis di sini pada Sabtu.

Dr Noor Azmi (dua dari kiri) ketika meninjau keadaan banjir di Tanjung Bugis, Bagan Serai pada Sabtu.
Dr Noor Azmi (dua dari kiri) ketika meninjau keadaan banjir di Tanjung Bugis, Bagan Serai pada Sabtu.

Dr Noor Azmi yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, semakan oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) tidak melaporkan sebarang kesan sampingan besar seperti radang otot jantung (myocarditis) dan radang selaput jantung (pericarditis) berlaku membabitkan penerima vaksin remaja.

Katanya, KKM hanya menerima laporan berlakunya kesan sampingan kecil seperti demam, bengkak dan gatal yang boleh pulih segera dalam tempoh satu ke dua hari dengan pengambilan ubat.

Artikel Berkaitan:

"Mana-mana yang alami kesan lebih teruk seperti sakit dada, sukar bernafas dan jantung berdegup laju, mereka wajib laporkan dan dapatkan rawatan segera ke hospital atau klinik berhampiran kerana dari situ NPRA dapat menyediakan laporan.

"Kita lakukan pemantauan setiap hari perkembangan pemberian imunisasi ini dan sekiranya ada laporan (kesan sampingan vaksin) kita akan terus berikan maklumat yang tepat secara telus kepada umum," katanya.

KKM dalam kenyataan pada 29 September lepas menafikan dakwaan seorang aktivis sepertimana video tular mengenai kematian lima remaja masing-masing di Perak, Sabah dan satu lokasi tidak dimaklumkan yang dikatakan berlaku selepas mendapat suntikan vaksin.