Kerajaan kenal pasti kaedah terbaik stabilkan harga ayam

Alexander (kiri) menandatangani plak simbolik perasmian Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Food Bank Malaysia (Zon Utara) di RTC Gopeng.
Alexander (kiri) menandatangani plak simbolik perasmian Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Food Bank Malaysia (Zon Utara) di RTC Gopeng.
A
A
A

GOPENG - Kerajaan telah mengenalpasti beberapa kaedah bagi menstabilkan harga ayam agar dapat memberi impak terbaik kepada pengguna dan penternak di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kaedah terbabit diperoleh hasil libat urus kementeriannya bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) serta pemain industri.

"Kita dapatkan pandangan mereka dan antara lain adalah lanjutkan subsidi dedak ayam, namun mereka lebih suka diberi pinjaman mudah kerana kos operasi yang naik bukan dedak ayam sahaja.

"Langkah lain mungkin kita buat stok simpanan dan sebagainya tetapi semua ini adalah idea dahulu dan kita belum tetapkan lagi kerana kita mahu cari langkah terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Food Bank Malaysia (Zon Utara) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini pada Sabtu.

Menurut Alexander, perkara itu bagaimanapun sedang diteliti oleh Kementerian Kewangan dan belum ada kaedah diputuskan.

Alexander memeriksa makanan yang disumbang rakan strategik utama di Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Food Bank Malaysia (Zon Utara) di RTC Gopeng.
Alexander memeriksa makanan yang disumbang rakan strategik utama di Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Food Bank Malaysia (Zon Utara) di RTC Gopeng.

"Kita mengambil kira keseluruhan konteks ekonomi jika kita beri subsidi kepada semua. Kemungkinan kemampuan kita dari segi kewangan tidak dapat buat secara berterusan kerana ia akan membebankan.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kita akan sampaikan satu keputusan yang boleh membantu dan idea ini kita sampaikan kepada Kementerian Kewangan.

"Jadi, kita berharap dengan keputusan itu nanti jika dilaksanakan, kita boleh kawal harga ayam di peringkat penternakan, pemborong dan peruncit," ujarnya.

Kata beliau, pihaknya mengakui kenaikan harga ayam berlaku tidak menentu namun tidak mahu kenaikan tersebut membebankan pengguna.

Sementara itu, Alexander berkata, program Food Bank Malaysia yang diterajui KPDNHEP itu berjaya membantu golongan kurang berkemampuan di samping mengurangkan pembaziran di peringkat industri peruncitan.

"KPDNHEP dengan kerjasama rakan strategik utama program Food Bank juga sedang merancang untuk membuka tiga Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Food Bank Malaysia di Johor, Melaka dan Kelantan.

"Kerjasama baik yang diberikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan rakan strategik utama lain telah membantu dalam memastikan pusat ini dapat beroperasi dengan lancar," katanya.

Katanya, seramai 630,754 orang golongan B40 dan 19,954 pelajar institut pengajian tinggi di seluruh negara telah menerima manfaat daripada program itu.