Pemberian vaksin remaja OKU dibuat secara 'outreach', berjadual

Proses pemberian vaksin kepada remaja OKU di institusi dan terlantar di rumah akan dilakukan secara jangkau luar (outreach) serta berjadual oleh Pasukan Pelaksana Vaksinasi. - Foto 123RF
Proses pemberian vaksin kepada remaja OKU di institusi dan terlantar di rumah akan dilakukan secara jangkau luar (outreach) serta berjadual oleh Pasukan Pelaksana Vaksinasi. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Proses pemberian vaksin kepada remaja orang kurang upaya (OKU) di institusi dan terlantar di rumah akan dilakukan secara jangkau luar (outreach) serta berjadual oleh Pasukan Pelaksana Vaksinasi.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pasukan tersebut terdiri daripada kakitangan kesihatan, pengamal perubatan swasta atau pasukan kesihatan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut beliau, pendaftaran remaja OKU yang berada di institusi perlindungan, pemulihan dan pendidikan samada berdaftar atau tidak perlu dilakukan oleh pengetua, pengusaha dan penyelia melalui portal Vaksin Anakku.

Tambahnya, remaja tersebut yang terlantar di komuniti dikenal pasti melalui samada daripada senarai penerima Bantuan Pesakit Terlantar di Bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM), senarai berdaftar dengan Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK) atau melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ibu bapa atau penjaga boleh hadir ke klinik kesihatan berdekatan atau memaklumkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk mendaftarkan remaja OKU terlantar dan tiada dalam senarai seperti berkenaan.

“Remaja OKU bersekolah harian akan diberi vaksinasi secara berjadual di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) atau sekolah manakala remaja OKU bersekolah asrama pula akan menerima janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera,” katanya menerusi hantaran yang dikongsi di Facebook Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi remaja OKU dengan masalah tingkah laku seperti Autism Spectrum Disorder, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), remaja OKU mental atau dengan komorbid yang lain, pemberian vaksinasi boleh dilakukan di klinik kesihatan atau hospital kerajaan berdekatan rumah.

Noor Azmi berkata, senarai nama itu akan dikumpul di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) untuk diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Artikel Berkaitan:

“Pemberian janji temu akan melalui aplikasi MySejahtera manakala bagi ibu bapa tidak mempunyai aplikasi MySejahtera, pemberian vaksin akan dilakukan secara jangkau luar (outreach) dan berjadual oleh Pasukan Pelaksana Vaksinasi,” katanya.