Perlawanan persahabatan harap kukuh persefahaman skuad negara

Cheng Hoe
Cheng Hoe
A
A
A

KETUA Jurulatih Skuad Kebangsaan, Tan Cheng Hoe berharap dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Jordan, awal bulan ini mampu mengukuhkan persefahaman antara pemain dan menjadi medan menilai prestasi beberapa muka baharu yang turut disenaraikan kali ini.

Beliau yang hanya berpeluang membawa 22 pemain terdiri daripada pemain sedia ada dan pernah dipanggil sebelum ini ke Jordan tetap mengharapkan keputusan yang positif daripada kedua-dua perlawanan itu.

“Kalau tanya mana-mana jurulatih pun mereka nak dua-dua (keputusan dan pendedahan) sekali, tetapi dua perlawanan ini adalah sebagai pendedahan kepada pemain baharu di samping kita nak pastikan keserasian dan momentum pasukan.

"Apabila pasukan bermain selepas lebih setahun tidak beraksi, kita nampak memang ada kekurangan dari segi keserasian antara pemain,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) di sini awal pagi Sabtu.

Malaysia yang menduduki ranking ke-154 dunia, akan berdepan Jordan (ke-93 dunia) di Stadium King Abdullah II di Amman pada 6 Oktober dan Uzbekistan (ke-84 dunia) di Stadium Antarabangsa Amman, 9 Oktober.

Cheng Hoe berkata, dua aksi persahabatan itu juga medan beliau menguji kombinasi pemain dalam membentuk sebuah pasukan lebih mantap selepas prestasi kurang memberangsangkan skuad kebangsaan pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun lepas.

“Kita tahu ini masa terbaik nak uji pemain baharu, termasuk pemain senior (yang pernah dipanggil) bagi membentuk pasukan, seterusnya bersedia untuk Piala AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) 2020 dan Kelayakan Piala Asia nanti,” katanya.

Skuad Harimau Malaya bersaing merebut kejuaraan Piala AFF 2020 yang dijadual berlangsung di Singapura pada Disember ini, sebelum menyambung misi memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia 2023 pada pusingan ketiga kelayakan kempen itu tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Cheng Hoe menjelaskan perbezaan senarai pemain ke Jordan berbanding beberapa panggilan ke skuad kebangsaan sebelum ini, bukan disebabkan faktor tekanan daripada peminat yang menggesa supaya pemain sama tidak dipilih mewakili negara jika gagal beraksi dengan baik.

“Saya merombak pasukan bukan kerana tekanan, keutamaan skuad kebangsaan sekarang adalah kita memerlukan ramai pemain supaya pada masa depan jika ada pemain dapat kecederaan atau digantung perlawanan, ada pemain yang bersedia,” katanya.

Berdasarkan rekod, Malaysia seri dan tewas dua kali dalam empat pertemuan menentang Jordan dengan terbaharu skuad Cheng Hoe itu tumpas 0-1 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 pada Ogos 2019 dan skuad negara juga tidak pernah mencatat sebarang kemenangan sepanjang enam pertembungan dengan Uzbekistan. - Bernama