Perpaduan asas dalam usaha pulihkan ekonomi, sosial akibat Covid-19

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Kadzim M Yahya ketika tiba pada pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 di Bangunan DUN Sabah hari ini.- Foto Bernama
Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Kadzim M Yahya ketika tiba pada pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 di Bangunan DUN Sabah hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Rakyat Sabah perlu sentiasa menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan bagi menjayakan pelbagai program dirancang serta sedang dilaksanakan, terutamanya dalam usaha memulihkan semula ekonomi dan sosial yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Kita perlu bersatu dan terus berusaha untuk memulihkan kembali ekonomi negeri dan kehidupan yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19,” kata Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau berkata perpaduan adalah asas kepada kestabilan, keharmonian dan tunjang kepada kejayaan semua usaha.

“Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh lapisan rakyat agar terus memperkukuhkan dan mengekalkan perpaduan yang telah menjadi identiti dan kebanggaan kepada negeri ini," katanya dalam perutusan sempena Hari Jadi Rasmi Ke-68 Yang di-Pertua Negeri Sabah pada Sabtu.

Sementara itu, Juhar turut menghargai keprihatinan kerajaan yang menyediakan pelbagai pakej dan penyaluran bantuan kepada seluruh lapisan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Usaha kerajaan melaksanakan SOP (prosedur operasi standard) Pelan Pemulihan Negara dan memperhebatkan program imunisasi untuk rakyat amat dihargai...mereka yang belum menerima vaksin Covid-19 perlu segera berbuat demikian," katanya.

Perutusan itu disampaikan beliau pada majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu di sini pada Sabtu.

Majlis tersebut menyaksikan Puan Sri Noorainee Abdul Rahman iaitu isteri bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) iaitu darjah kebesaran tertinggi Sabah membawa gelaran ‘Datuk Seri Panglima’ mendahului senarai 33 penerima hari ini.

Artikel Berkaitan:

Empat lagi penerima SPDK ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Chong Kah Kiat, Panglima Tentera Darat Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Yee Moh Chai.

Seramai 24 individu menerima Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) dan membawa gelaran ‘Datuk’ antaranya Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmy Yahya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (Dilantik) Sabah Suhaimi Nasir.

Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Dr Zulkapli Mohamed, Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali serta Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid turut dianugerahkan darjah itu.

Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman merupakan antara empat penerima Jaksa Pendamai (JP). - Bernama