Pengundi muda, atas pagar penentu PRU15

Syahir Sulaiman
Syahir Sulaiman
A
A
A

SHAH ALAM – Penolong Setiausaha Agung Pas, Syahir Sulaiman menjangkakan tiga perkara berlaku berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Syahir berkata, beliau menjangkakan sikap tidak menentu pengundi muda dan atas pagar bakal menjadi undi penentu dalam PRU15.

Katanya, PRU15 juga akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan negeri di semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Dijangkakan jumlah pengundi mencecah 22.7 juta orang jika PRU15 diadakan pada 2023 berbanding PRU14 lalu melibatkan 14.9 juta pengundi,” katanya menerusi tulisan di Facebooknya pada Sabtu.

Beliau mengulas laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyeru 5.8 juta bakal pemilih berusia 18 tahun ke atas untuk membuat Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) selama sebulan mulai semalam (Jumaat).

Tambah Syahir, apa dikhuatirinya adalah jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah semasa PRU15 kerana dijalankan dalam tempoh pandemik Covid-19.

Menurutnya, penentuan majoriti dan proses pembentukan kerajaan pasca PRU15 juga dijangka rumit.

“Ketiadaan majoriti kukuh bakal mengulangi drama politik 2020/21, sekali gus menghilangkan fokus negara terhadap usaha pemulihan ekonomi,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Syahir menyarankan tiga perkara dibuat melibatkan sebelum, semasa dan selepas PRU15.

Katanya, sebelum PRU15, pendidikan politik disarankan kepada mereka bagi menyedarkan generasi muda supaya celik dan cakna.

“Semasa PRU15 pula, persaingan sihat yang menguntungkan rakyat iaitu dari segi manifesto dan calon berwibawa. Selepas PRU15, kematangan politik yang menumpukan pemulihan ekonomi negara dan rakyat,” katanya.

Tambahnya, pilihan dan penyelesaian juga kini di tangan generasi muda untuk membina semula Malaysia yang lebih baik.