X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

PGA rampas 14.9 tan daun ketum dalam Op Benteng

Ramli (tengah) bersama anggotanya menunjukkan antara rampasan daun ketum dilakukan oleh Batalion 18 di Markas Taktikal (MARTAK) PGA Bukit Kayu Hitam, dekat sini pada Sabtu.
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 berjaya merampas 14,964 kilogram (kg) daun ketum sepanjang Op Benteng Covid Kawalan Keselamatan Sempadan Darat Malaysia/Thailand di Kedah Perlis bermula 1 September hingga Sabtu.

Pegawai Pemerintah Batalion 18, Superintendan Ramli Wan Salim berkata, rampasan daun ketum tersebut dianggarkan bernilai RM448,920 dan dilakukan dalam tempoh sebulan.

Menurut beliau, biarpun kawalan ketat dilakukan oleh pihaknya dengan bantuan Skuadron Perisai 1, Kulim, Skuadron Perisai 3, Ulu Kinta bersama Batalion 2 dan Task Force Briged Utara namun aktiviti untuk menyeludup bahan larangan itu masih tinggi.

"Sepanjang tempoh sebulan ini, Batalion 18 berjaya merekodkan 59 kes dan daripada jumlah itu, sebanyak 47 kes membabitkan aktiviti penyeludupan ketum.

"Mereka sentiasa berusaha untuk menyeludup daun-daun ketum ini ke negara jiran dan menunggu kita lalai sahaja namun anggota penguatkuasa sentiasa berjaga dan bersiap sedia selama 24 jam," katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal (MARTAK) PGA Bukit Kayu Hitam, dekat sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas Majlis penyerahan tugas Batalion 18 kepada Batalion 1 yang diterima oleh Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 1, PGA Ulu Kinta, Deputi Superintendan Ayob Ismail.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, rampasan ketum tersebut berjaya dilakukan di sempadan Perlis berdekatan Padang Bedar dan negara jiran.

Ramli melihat sebuah kereta yang digunakan untuk menyeludup daun ketum ke negara jiran.
Ramli melihat sebuah kereta yang digunakan untuk menyeludup daun ketum ke negara jiran.

Menurutnya, pada operasi kali ini, selain daun ketum, pelbagai rampasan lain juga turut dilakukan pihaknya membabitkan pelbagai kesalahan seperti di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, Akta Jualan Dadah 1952, Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Makanan 1983 perlabelan dan Akta Kastam 1967.

Menurutnya, daripada 59 kes tersebut sebanyak 18 individu berjaya ditangkap melibatkan pelbagai kesalahan.

"Kejayaan kali ini juga selain merampas daun ketum seberat hampir 15,000kg adalah dengan merampas tiga buah kenderaan lori, 10 buah kereta, 11 buah motosikal, dua buah kontena dan sebuah kenderaan motovan.

"Kami juga merampas pelbagai lagi jenis barangan seperti radio dua hala, telefon bimbit, rokok putih dan arak pelbagai jenama serta barangan makanan tidak menepati syarat perlabelan yang semuanya dianggarkan bernilai RM2,303,347," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!