Tindakan Erwan keluar parti tidak jejas Bersatu Putrajaya

Hamzah
Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM – Tindakan bekas Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir keluar daripada parti dan menyertai UMNO tidak menjejaskan bahagian terbabit.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Erwan meletakkan jawatannya pada 10 Oktober tahun lalu setelah tewas dalam pemilihan parti bagi jawatan naib presiden.

“Dalam tempoh peletakan jawatan beliau, akar umbi Bersatu Bahagian Putrajaya terus diperkukuhkan di bawah kepimpinan pemangku Ketua Bahagian yang juga Timbalan Ketua Bahagian Putrajaya, Fathul Azam Hashim melalui penubuhan cawangan dan pendaftaran keahlian yang baharu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Erwan sebelum ini dilaporkan mengumumkan keluar daripada Bersatu serta-merta dan kembali menyertai UMNO.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana beliau yakin dan percaya hanya UMNO dapat memartabatkan serta mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, perlembagaan Malaysia serta Raja-raja Melayu seperti dinyatakan di dalam asas penubuhan UMNO.

Kata Erwan, ia juga diputuskan setelah mengambil kira perkembangan politik semasa dan masa depan negara.

Mengulas lanjut, Hamzah menegaskan, akar umbi dan kepimpinan Bersatu Bahagian Putrajaya sentiasa berada dalam keadaan kukuh dan utuh.

“Bersatu menegaskan bahawa kepimpinan dan akar umbi Bersatu di semua peringkat sentiasa cekal dan istiqamah menghayati perjuangan parti dan tidak berlandaskan hanya kepada sokongan terhadap seseorang individu,” katanya.

Artikel Berkaitan: