Penduduk bantah bina stesen pemindahan sisa pepejal

Zhi Li (kanan) bersama penduduk mengadakan bantahan secara aman di tapak pelupusan sampah Kampung Air Putih Pekan Nanas pada Sabtu.
Zhi Li (kanan) bersama penduduk mengadakan bantahan secara aman di tapak pelupusan sampah Kampung Air Putih Pekan Nanas pada Sabtu.
A
A
A

PONTIAN - Seramai 50 penduduk mengadakan protes aman membantah cadangan pembinaan stesen pemindahan sisa pepejal seluas kira-kira tiga hektar di Kampung Air Putih Pekan Nanas.

Ketua Pemuda MCA Bahagian Tanjung Piai, Heng Zhi Li berkata, bantahan itu dibuat kerana penduduk tidak mahu dihantui dengan isu bau dan kesihatan kerana kedudukan tapak berkenaan terletak dalam lingkungan tiga kilometer dari kawasan perumahan penduduk.

"Saya juga tinggal di Pekan Nanas yang merasai kebimbangan penduduk terhadap cadangan pembinaan stesen pemindahan sisa pepejal kerana terlalu dekat dengan kawasan taman perumahan dan kampung.

"Antara kawasan perumahan tersebut adalah Taman Damai, Taman Teratai, Taman Sentosa serta Kampung Air Putih dan Kampung Sawah," katanya selepas mengadakan bantahan di tapak pelupusan sampah di Kampung Air Putih Pekan Nanas pada Sabtu.

Zhi Li berkata, melalui kajian alam sekitar (EIA) yang dijalankan sebelum ini, beliau difahamkan stesen tersebut akan beroperasi selama 20 tahun yang tentunya akan memberi kesan jangka panjang kepada penduduk.

"Saya difahamkan melalui EIA sisa pepejal akan dikumpul di sini sebelum dihantar ke tapak pelupusan di Seelong, Kulai. Persoalannya ialah mengapa perlu ada stesen pemindahan kerana sisa pepejal yang dikutip akan tetap dihantar ke tapak pelupusan?

"Sejak sedekad lalu, penduduk perjuangkan isu tapak pelupusan di sini. Sejak dua tahun lalu, tapak pelupusan ini sudah dalam keadaan yang baik dan kurang berbau," katanya.

Justeru Zhi Li berharap kerajaan menerusi pihak berkuasa tempatan mengambil berat isu terbabit termasuk menangguhkan cadangan pembinaan stesen pemindahan sisa pepejal sehingga tapak baharu yang lebih sesuai dikenalpasti.

Artikel Berkaitan: