Taska Genius Perpaduan, Tabika Perpaduan mula operasi fizikal

Foto Facebook Tabika Perpaduan Bandar Baru Permas Jaya.
Foto Facebook Tabika Perpaduan Bandar Baru Permas Jaya.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 17 Taska Genius Perpaduan (TGP) di enam buah negeri fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan beroperasi terutama bagi anak-anak yang ibu bapanya bekerja.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, enam negeri tersebut termasuk Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Sabah dan Johor.

Tambah beliau, sebanyak 24 TGP di tujuh buah negeri fasa tiga dan dua buah negeri fasa empat PPN pula akan mula beroperasi secara fizikal mulai Ahad.

“Ini meliputi Terengganu, Sarawak, Perlis, Negeri Sembilan dan Labuan diikuti Pahang (10 Oktober), Kuala Lumpur, Selangor serta Melaka masing-masing (18 Oktober),” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, sebanyak 833 buah Tabika Perpaduan (TP) di enam buah negeri fasa dua PPN akan mula beroperasi secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), manakala sebanyak 948 TP di lapan buah negeri fasa tiga dan dua negeri fasa empat akan mula beroperasi secara fizikal pada Ahad.

“Ini merangkumi Terengganu, Sarawak, Perlis, Negeri Sembilan, Labuan, Pulau Langkawi, kemudian diikuti Pahang (11 Oktober), manakala Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Melaka masing-masing (18 Oktober).

“Sekiranya berlaku perubahan fasa PPN, pengoperasian TGP dan TP hendaklah mengikut ketetapan fasa baharu iaitu selepas dua minggu daripada tarikh peralihan fasa tersebut seperti ditetapkan dalam Garis Panduan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KKM),” katanya.

Bagaimanapun, Halimah mengigatkan guru dan pendidik agar sentiasa memastikan murid TP dan kanak-kanak TGP menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Artikel Berkaitan:

“Ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke tabika dan taska juga perlu mematuhi protokol kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM serta arahan kerajaan Negeri yang berkaitan sepanjang tempoh pengoperasian ini,” katanya lagi.