45,000 tan sampah kitar semula dikumpul di Pahang

Sharudin (dua,kanan) membantu seorang pengunjung yang menghantar barangan kitar semula di BBC Taman Gelora pada Sabtu.
Sharudin (dua,kanan) membantu seorang pengunjung yang menghantar barangan kitar semula di BBC Taman Gelora pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 45,000 tan barangan kitar semula dianggarkan bernilai RM22,000 dikumpulkan di seluruh Pahang dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Sharudin Hamid berkata, kutipan sebanyak itu menunjukkan orang ramai mulai sedar mengenai kepentingan pengasingan sisa.

Menurutnya, susulan itu, SWCorp dan Syarikat Konsesi Alam Flora Sdn Bhd membuka pusat pembelian semula (BBC) bagi menyelesaikan masalah lambakan barangan yang boleh dikitar semula dan memberi peluang kepada orang ramai memperoleh pendapatan sampingan.

"Hari pertama pembukaan BBC, sebanyak 1.5 tan barang kitar semula berjaya dikumpul dan ia satu jumlah cukup besar. Bila barangan ini (kitar semula) dihantar ke sini (pusat BBC) ia dapat menjimatkan jangka hayat pusat pelupusan.

"Pada tahun lalu, sebanyak 143,000 tan sampah kitar semula bernilai RM60,000 berjaya dikumpul melalui program membabitkan kerjasama orang ramai," katanya ketika ditemui di Pusat Pembelian Barangan Kitar Semula di Taman Gelora pada Sabtu.

Beliau berkata, pusat pengumpulan itu adalah lanjutan daripada program #ThrashToCash yang dilancarkan pihaknya sejak tahun lalu.

Katanya, sebelum ini orang ramai perlu menunggu lori program dan mengumpul barang kitar semula di kawasan perumahan mereka.

"Tetapi dengan adanya BBC, mereka boleh datang sendiri membawa sampah untuk ditukarkan dengan wang tunai. Buat masa ini, kami mempunyai dua pusat BBC iaitu berhampiran Stadium Darul Makmur dan satu lagi beroperasi di Taman Gelora.

Artikel Berkaitan:

"Setiap pusat pengumpulan ini beroperasi mengikut jadual ditetapkan dan di BBC Kuantan (Stadium Darul Makmur), ia beroperasi pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat, manakala BBC Taman Gelora pula dibuka pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu.Orang ramai boleh mengunjungi BBC itu bermula jam 9 pagi hingga 4 petang,” katanya.

Dalam pada itu, Sharudin berkata, dua pusat itu akan menjadi projek perintis sebelum ia dibuka di 10 daerah di Pahang.

Menurutnya, pembukaan pusat BBC juga akan diperluaskan ke daerah lain secara berperingkat memandangkan tahap kesedaran orang ramai terhadap kepentingan kitar semula menunjukkan peningkatan.

"Belian mengikut harga semasa seperti minyak masak dibeli pada harga RM1.80, aluminium (RM2.50) surat khabar, kertas hitam putih dan majalah 25 sen, besi (50 sen) tin (40 sen, plastik (40) untuk sekilogram.

"Masyarakat bukan sahaja menyokong kerajaan bagi program kitar semula, malah boleh menjana pendapatan hasil daripada jualan barangan kitar semula," katanya.