12 lelaki ditahan gaduh dua kumpulan

Pergaduhan berlaku di Lebuh Farquhar pada awal pagi Jumaat melibatkan dua kumpulan lelaki.
Pergaduhan berlaku di Lebuh Farquhar pada awal pagi Jumaat melibatkan dua kumpulan lelaki.
A
A
A
GEORGETOWN - Seramai 12 lelaki ditahan untuk membantu siasatan selepas dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan di kawasan Lebuh Farquhar di sini awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian pada jam 12.35 tengah malam itu, kesemua mereka disyaki terlibat dalam pergaduhan melibatkan dua kumpulan berbeza dan ditahan antara jam 12.38 tengah malam hingga 3.17 pagi, Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd Ra’ais berkata, suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan secara berasingan di beberapa lokasi di sekitar bandar ini.

"Selepas menerima laporan berhubung kejadian pergaduhan membabitkan dua kumpulan di kawasan Lebuh Farquhar, kita terus ke lokasi kejadian.

"Polis berjaya menahan 12 lelaki yang dipercayai terlibat dengan pergaduhan untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurutnya, semua yang ditahan kini direman untuk siasatan lanjut dan polis masih menyiasat punca kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh," katanya.

Difahamkan, semua lelaki itu dipercayai minum di sebuah restoran berdekatan lokasi kejadian sebelum pergaduhan berlaku.

Tular di media sosial video berdurasi 1 minit berhubung kejadian dua kumpulan membabitkan lebih 20 lelaki sedang bergaduh di sebuah lokasi.
Artikel Berkaitan:


Dari video tersebut, kesemua lelaki tersebut bergaduh menggunakan tangan selain senjata tukul besi.

Berdasarkan rakaman itu, ada yang mendakwa pergaduhan itu berlaku kerana kumpulan tersebut mabuk selepas minum minuman keras di pusat hiburan di situ.