111 kes minyak masak botol dijual lebihi harga kawalan

Rosol
Rosol
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan sebanyak 111 kes membabitkan penjualan minyak masak botol melebihi harga kawalan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kesalahan itu dikesan melalui penguatkuasaan harga runcit maksimum minyak masak dalam botol yang dilaksanakan bermula 1 Ogos hingga 1 Oktober lalu.

"Bermula 1 Ogos sehingga semalam (Jumaat), sebanyak 19,266 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara membabitkan minyak masak dalam kuantiti 1kilogram (kg) hingga 5kg.

"Daripada jumlah itu, kita telah mengesan 111 kes menjual minyak masak dalam botol melebihi harga kawalan dan tindakan sita telah diambil melibatkan nilai RM13,961.50 serta kompaun RM26,850.

"Tindakan itu diambil mengikut Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) 2021, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana kesalahan menjual melebihi harga maksimum," katanya ketika ditemui media selepas melawat lokasi ternakan kelulut di Kampung Machang di sini pada Sabtu.

Menurut Rosol, kes tertinggi dikesan melibatkan Johor (44) Perak (23), Pulau Pinang (9) Pahang (4), Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Melaka (6) Negeri Sembilan (3), Sabah (2) dan masing-masing satu kes di Kedah dan Selangor.

Dalam pada itu, Rosol menegaskan, harga maksimum runcit ditetapkan bagi minyak masak sawit tulen dalam botol ialah RM29.70 bagi botol 5kg, RM18.70 (3kg), RM12.70 (2kg) dan RM6.70 (1kg), manakala harga minyak masak bersubsidi dalam peket 1kg ialah RM2.50.

Sementara itu, mengulas mengenai aduan di media sosial berhubung isu kekurangan minyak masak peket di Terengganu, beliau berkata, kes terbabit masih dalam siasatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, KPDNHEP Terengganu dan Putrajaya belum menerima laporan mengenai dakwaan minyak masak peket tiada di Terengganu.

"Pemeriksaan harian pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga mendapati bekalan minyak masak di seluruh negara stabil dan mencukupi.

"Namun kita harap mereka yang terlibat dapat membuat aduan secara terus kepada KPDNHEP. Kita akan giatkan pemantauan untuk pastikan bekalan mencukupi," katanya.