X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Pematuhan SOP: Polis Johor tumpu pantau lokasi riadah, berkelah

Ayob Khan
A
A

JOHOR BAHRU - Peralihan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Johor dilihat bukanlah peluang bagi rakyat di negeri ini untuk mula mengambil mudah prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya sentiasa menitikberatkan isu berkenaan malah tidak menganggap ia sebagai peluang untuk mula melonggarkan kawalan.

Menurutnya, untuk penugasan kepada Fasa Dua PPN ini, seramai 1,636 pegawai dan anggota telah diarahkan untuk terlibat dalam rondaan dan pemantauan bagi pematuhan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kekuatan ini adalah melibatkan 289 kumpulan pemantauan pematuhan SOP dengan pergerakan 159 kereta peronda polis (MPV).

"Tumpuan polis Johor kini adalah kepada tempat berkelah, riadah dan juga rekreasi memandangkan tempat-tempat ini lebih menjadi tumpuan orang ramai untuk bersama keluarga ketika hujung minggu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Ayob Khan berkata, setakat Khamis (30 September) sebanyak 8,248 premis melibatkan pasar raya, pasar awam, restoran, kilang, tempat ibadat dan pusat riadah telah diperiksa.

"Selain itu, sebanyak 162 tempat rekreasi, 31 tapak berkelah, 77 tapak permainan dan 46 hotel, resort dan inap desa turut diperiksa. Hasil pemantauan ini, sebanyak 359 nasihat telah diberi kepada orang ramai yang didapati tidak mematuhi SOP.

"Tindakan memberi nasihat ini adalah untuk memberi peringatan kepada orang ramai tentang bahaya jangkitan Covid-19 sekali gus memastikan SOP yang telah ditetapkan dapat dipatuhi," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai pemalsuan sijil vaksinasi di aplikasi MySejahtera di Johor, Ayob menolak kemungkinan berlakunya kes berkenaan dengan tiada sebarang laporan yang telah diterima.

"Setakat ini tiada," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!