Prestasi 100 hari: Pandangan rakyat terhadap menteri diambil kira

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pandangan rakyat terhadap prestasi menteri-menteri yang dimuat naik menerusi media sosial akan turut diambil kira sebagai pemarkahan sempena pencapaian awal tempoh 100 hari pertama perkhidmatan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ada pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk mendapatkan maklum balas dan analisis sentimen ramai terhadap menteri seperti kajian sikap rakyat terhadap menteri sejak memegang jawatan dan menerusi kajian professional.

“Saya cakap secara keseluruhannya saya buat pemarkahan seperti kad laporan sekolah, itu salah satu, kita ada jawatankuasa... tapi ada pemarkahan saya dapatkan daripada rakyat boleh beri markah... tapi tak tahu lagi berapa peratus (pandangan rakyat dalam jumlah keseluruhan pemarkahan), pandangan rakyat satu cara,” katanya pada sesi wawancara khas bersama editor kanan media di sini baru-baru ini.

Perdana Menteri mengakui beliau sendiri rajin membaca komen-komen dan hantaran rakyat menerusi sosial media dan kadang kala menjawab sendiri komen-komen berkenaan.

“Kelmarin mereka (menteri-menteri) membentangkan cadangan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) dan saya bagitau perlu ada ‘feel good factor’ (faktor yang menyenangkan) kepada rakyat ... kita tunggu menteri umumkan sendiri,” katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau melakukan ini bukan bertujuan untuk menghukum sesiapa tetapi sekadar mahu melihat mereka menjalankan tugas sebaiknya.

“Tujuan letak 100 hari bukan tujuan nak hukum menteri, ada yang bertanya adakah ada yang akan dibuang... saya berharap tidak ada yang akan dikenakan tindakan, saya nak mereka menjalan tugas dengan baik tidak lebih dari itu. Selepas 100 hari ia akan disambung dengan pelan setengah penggal dan jangka panjang, ia berterusan,” katanya.

Ditanya adakah beliau menetapkan sasaran 100 hari untuk diri sendiri, sambil tersenyum beliau menjawab: “Saya ... tentu ada target (sasaran) sendiri... tunggu pengumuman saya nanti semasa saya memberi ucapan kepada rakyat... kena tunggu 10 Disember nanti.”

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri berkata, setakat ini terdapat keseimbangan penerimaan rakyat terhadap kerajaan terutamanya apabila usul Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dibentangkan beliau masa persidangan Dewan Rakyat pada 27 Sept lepas.

“Ada yang respons positif tetapi taklah kata semua positif juga ada yang negatif contohnya daripada segi pegangan ekuiti (pemilikan saham bumiputera) itu negatif daripada bukan bumiputera,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan RMK12 diterima dengan baik oleh rakyat, namun yang penting sekarang ialah dari segi pelaksanaannya yang diharap dapat dilakukan dengan baik.

Ismail Sabri turut ditanya mengenai persepsi masyarakat bukan Melayu terutama kaum Cina terhadap pentadbiran beliau dan adakah usaha khusus untuk menguatkan sokongan daripada mereka akan dilaksanakan.

“Setakat hari ini saya pun belum dapat buat kajian terperinci, baru sebulan lebih, masih terlalu awal. Kadang-kadang suka pada peringkat awal, lama-lama jadi tak suka.

“Setengah itu tak suka peringkat awal... lama-lama jadi suka, sebab itu mungkin dalam lima atau enam bulan, tiga bulan selepas 100 hari mungkin saya akan sampaikan ucapan... banyak lagi kita akan berikan kepada rakyat mungkin akan ada beza selepas itu. Sebab itu untuk nilai kejayaan dalam 100 hari terlalu singkat,” katanya.

Ketika mengumumkan barisan Kabinet dan anggota pentadbirannya yang dianggotai 31 Menteri dan 38 timbalan menteri pada 27 Ogos lepas, Ismail Sabri menetapkan setiap menteri perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama perkhidmatan. - Bernama