Belanjawan 2022 fokuskan rakyat yang masih terkesan Covid-19: PM

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2022 akan memberikan fokus kepada rakyat berikutan masih ramai yang terkesan akibat daripada pandemik Covid-19, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, walaupun banyak sektor ekonomi sudah dibuka tetapi ada rakyat yang semakin susah berikutan kesan berpanjangan daripada pandemik tersebut serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh.

“Minggu depan MOF (Kementerian Kewangan) akan bentang (maklumat lanjut berkaitan belanjawan),” katanya semasa wawancara khas bersama editor kanan media di sini baru baru ini.

Ismail Sabri berkata, bagaimanapun ketika ini keadaan rakyat sudah semakin baik dengan penurunan kes Covid-19 yang membolehkan banyak sektor ekonomi dibuka semula.

“Rakyat dah dapat bernafas sikit bila kita buka (sektor) ekonomi dan saya jangka menjelang Disember dah boleh buka semua sekali. Saya percaya, ‘feel good’ (faktor)) bila kes makin menurun. R-naught makin menurun.

“Cuba bayangkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, kalau ikutkan dulu mula-mula tak tahu bila boleh buka (sektor ekonomi)...sekarang dah Fasa Tiga (Pelan Pemulihan Negara) dan this is ‘the heart centre’ (ini adalah bahagian paling penting).

“Di Malaysia, ekonomi Lembah Klang adalah tumpuan. Saya ingat lebih 70 peratus tertumpu di sini (Lembah Klang). Jadi kita dah buka perniagaan, kilang, semua kita dah buka. Saya rasa ‘feel good’ itu semakin ada dalam kalangan rakyat,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pembentangan Belanjawan 2022 akan menumpukan kepada pelaksanaan inisiatif jangka pendek yang dijajarkan dengan dasar dan strategi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi mencapai matlamat Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan.

Artikel Berkaitan:

Mengenai pelaksanaan yang diharapkan daripada RMK12, Perdana Menteri berkata, kerajaan meletakkan sasaran yang optimistik dengan mengambil kira strategi dan transformasi yang akan dilaksanakan di bawah RMK12.

Menurutnya, Covid-19 telah memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dunia yang menguncup sebanyak 3.2 peratus pada 2020 serta membawa kepada peningkatan kadar kemiskinan global, dengan Malaysia juga tidak terkecuali menerima kesan pandemik ini.

“Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), iaitu tahun 2016 hingga 2020, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pada kadar purata 2.7 peratus setahun, kurang daripada sasaran asal. Ini disebabkan penguncupan ketara sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2020, meskipun negara mencapai pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 4.9 peratus setahun dalam tempoh empat tahun pertama RMK11.

“Pencapaian yang agak rendah dalam RMK11 itu memerlukan kerajaan untuk merangka dasar dan strategi yang lebih menyeluruh bagi meletakkan semula ekonomi kepada landasan pertumbuhan jangka panjang yang lebih mampan dan berdaya tahan,” katanya. - Bernama