Penternak ikan rugi lebih RM100,000 akibat banjir

Mohamad Nasir menunjukkan keadaan sungai yang sempit didakwa akibat ditambak pihak tidak bertanggungjawab.
Mohamad Nasir menunjukkan keadaan sungai yang sempit didakwa akibat ditambak pihak tidak bertanggungjawab.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang penternak ikan kerugian lebih RM100,000 apabila kira-kira 1.5 tan ikan kelah, baung dan belida peliharaannya dihanyutkan dalam kejadian banjir kilat di Kampung Ngor di sini pada Khamis.

Dalam kejadian itu, limpahan air Sungai Ngor akibat hujan berterusan itu menyebabkan beberapa rumah penduduk turut dinaiki air sedalam kira-kira satu meter.

Penternak berkenaan, Mohamad Nasir Mohd Razali, 39, berkata, dia tidak sempat untuk menikmati hasil jualan ikan apabila ketiga-tiga kolam yang diusahakannya itu ditenggelami air bah.

"Saya pasarkan sendiri ikan di restoran-restoran sekitar Pahang dan Selangor dengan kelah dijual RM500 sekilogram manakala baung dan belida hanya RM45 sekilogram.

"Setiap kali hujan, saya berasa bimbang dan dalam kejadian ini boleh dikatakan semua ikan hanyut.

"Lebih 10 kali berlaku dalam tempoh setahun, saya kini tidak mampu untuk menampung kerugian lagi," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Dakwanya, kejadian banjir kilat sering dialami penduduk kampung sejak tiga tahun lalu selepas wujudnya projek ternakan ikan yang menambak tebing sungai oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Sepanjang saya membesar di kampung ini, tidak pernah berlaku banjir sehinggalah wujud projek ternakan ikan yang telah menambak rizab sungai ini hingga menyebabkan aliran sungai itu menjadi sempit.

Artikel Berkaitan:

“Sungai tidak dapat menampung air tambahan musim hujan ketika ini. Banjir ini boleh diselesaikan sekiranya pihak berkaitan ambil tindakan dengan aduan yang diajukan sejak tiga tahun lalu.

“Apabila aduan kami kepada pemimpin tempatan dan jabatan terlibat seolah-olah tidak diendahkan, akhirnya penduduk yang menjadi mangsa hingga terpaksa menanggung kerugian,” dakwanya.

Banjir yang sering berlaku di Kampung Ngor menyebabkan penghadang jambatan runtuh hingga membahayakan pengguna terutama kanak-kanak.
Banjir yang sering berlaku di Kampung Ngor menyebabkan penghadang jambatan runtuh hingga membahayakan pengguna terutama kanak-kanak.

Menurut Mohamad Nasir, dia merayu kepada jabatan terlibat untuk segera turun padang membantu penduduk dengan mendalamkan atau perluaskan sungai tersebut.

Bagi penduduk, Rohani Jamaluddin, 64, kejadian banjir kilat itu adalah terburuk yang dialaminya hingga terpaksa menyediakan sampan sebagai alternatif untuk menyelamatkan suaminya, Harun Ar Rashid, 72, yang tidak boleh berjalan.

Dia yang mengalami rabun dan kurang pendengaran mengakui tidak berdaya untuk mengangkat suaminya sekiranya air memasuki kediaman mereka berdua.

“Ketika kejadian air sejengkal lagi nak masuk rumah dengan keadaan hujan lebat. Anak yang tinggal berhampiran sudah sediakan sampan untuk bawa suami keluar kalau keadaan makin buruk.

“Syukur tiada apa-apa yang terjadi. Banjir kerap berlaku sejak tiga tahun lalu. Sebelum ini tidak pernah terjadi walaupun rumah berhampiran sungai kerana tebingnya tinggi,” katanya.

Katanya, dia yang tinggal berdua hanya mengharapkan bantuan daripada anak-anaknya untuk menyara kehidupan dan mengakui tidak pernah menerima bantuan daripada mana-mana pihak.

“Kos rawatan untuk suami yang sakit buah pinggang dan batu karang hanya mengharapkan bantuan anak-anak yang bekerja kampung,” katanya.