'Kalau nak jadi Ketua Menteri, boleh jumpa kepimpinan'

Sulaiman menjawab soalan pemberita ketika hadir program Ziarah Kasih di Kampung Ayer Merbau, Melaka pada Sabtu.
Sulaiman menjawab soalan pemberita ketika hadir program Ziarah Kasih di Kampung Ayer Merbau, Melaka pada Sabtu.
A
A
A

JASIN - "Kalau siapa nak jadi Ketua Menteri datanglah, boleh jumpa pihak kepimpinan." Demikian kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berhubung dakwaan wujudnya gerakan untuk menjatuhkan kerajaan negeri itu yang diterajui UMNO ketika ini.

Sulaiman yang dilihat enggan mengulas lanjut isu itu bagaimanapun memberitahu bahawa pihaknya tetap menjalankan tugas sebagaimana biasa dengan memberi tumpuan terhadap kebajikan rakyat.

Dalam masa sama beliau turut menyifatkan desas-desus sebagai perkara biasa dalam politik.

"Apa pun selagi saya terus diberikan mandat oleh kerajaan sedia ada untuk memimpin dan menguruskan Melaka, saya akan bekerja seperti biasa, apabila diminta turun saya akan turun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika program Ziarah Kasih di Kampung Ayer Merbau di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Roslan Ahmad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin, Datin Sapiah Haron.

Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang bahawa kerajaan negeri Melaka didakwa akan tumbang pada bila-bila masa.

Ia berikutan seramai empat ADUN dikatakan akan menyertai Pakatan Harapan selain mereka juga difahamkan turut menandatangani akuan bersumpah (SD).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sulaiman yang juga ADUN Lendu turut meminta semua pihak bersama-sama beliau memberi tumpuan dalam usaha membangunkan Melaka.

"Bila tibanya waktu, kita akan 'berperang' dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang," katanya.