Kerajaan diharap teruskan inisiatif bantu pengendali hotel

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu berharap kerajaan dapat meneruskan beberapa inisiatif bantuan sehingga Jun 2022, untuk memastikan kelangsungan industri itu mengharungi cabaran pascapandemik Covid-19.

Pengerusinya, Suaibah Harun berkata, antara yang diperlukan pengendali hotel ialah Program Subsidi Upah, diskaun bayaran bil elektrik air dan sistem pembetungan, serta penambahbaikan sistem percukaian dalam industri pelancongan.

“Pengendali hotel sangat berharap kerajaan meneruskan Program Subsidi Upah untuk membantu majikan mengekalkan jumlah pekerja yang sama, di premis masing-masing.

“Inisiatif ini perlu diteruskan sekurang-kurangnya hingga Jun 2022 atau ketika sempadan antarabangsa dibuka semula,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat malam.

Ketika ini, terdapat 36 hotel yang berdaftar dengan MAH Terengganu.

Seterusnya, Suaibah berkata, pengendali hotel juga berharap kerajaan dapat berunding dengan syarikat penyedia perkhidmatan utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd dan Indah Water Konsortium, untuk memberi diskaun bayaran kepada mereka.

“Operasi kami yang terjejas teruk dibebankan lagi dengan perbelanjaan utiliti, sedangkan syarikat-syarikat tersebut masih melaporkan keuntungan besar.

"Oleh itu, kami berharap diskaun yang bakal diberi dapat membantu kami di fasa pemulihan untuk membuka semula operasi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Suaibah yang juga Pengurus Besar Primula Beach Hotel berkata, MAH Terengganu juga berharap kerajaan dapat meneliti semula beberapa aspek percukaian, terutama cukai digital untuk ejen pelancongan dalam talian yang terus menaikkan kadar komisen tanpa sebarang pemantauan.

“Bermula komisyen hanya enam peratus, ejen pelancongan dalam talian ini secara perlahan-lahan menaikkannya sehingga 30 peratus.

“Kita akur bahawa akses pelanggan mereka di seluruh dunia sangat membantu kedatangan pelancong ke hotel, namun perlu ada satu had siling harga komisen yang diambil. MAH Terengganu sangat berharap kerajaan campur tangan dalam hal ini,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga diharap meneruskan pengecualian cukai pelancongan sehingga 2023 serta pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk bilik dan makanan, sehingga Jun 2022. - Bernama