Perkembangan, kontroversi dan penjelasan program vaksinasi Covid-19

Dr Adham (gambar kecil) mengumumkan bahawa semua negeri telah mencapai 60 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi selepas Sabah merekodkan kadar vaksinasi mencecah 60 peratus pada Jumaat.
Dr Adham (gambar kecil) mengumumkan bahawa semua negeri telah mencapai 60 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi selepas Sabah merekodkan kadar vaksinasi mencecah 60 peratus pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Perkembangan proses program vaksinasi Covid-19 dan isu-isu berkaitan dengannya terus menjadi bahan berita utama semalam.

Terbaharu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba, mengumumkan bahawa semua negeri telah mencapai 60 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi selepas Sabah merekodkan kadar vaksinasi mencecah 60 peratus pada Jumaat.

Ia sekali gus menjangkakan sasaran 100 peratus vaksinasi lengkap penduduk dewasa seluruh Malaysia hujung bulan ini juga hampir menjadi kenyataan.

Pada masa sama, Dr Adham juga memaklumkan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) hanya akan beroperasi hingga 31 Oktober ini, dan usaha imunisasi Covid-19 akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mulai 1 November depan.

Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bukan kesihatan yang diuruskan CITF kini telah mula ditutup secara berperingkat di seluruh negara dan dijangkakan tiada lagi PPV bukan kesihatan beroperasi selepas 31 Oktober.

Selain itu, tumpuan tentunya terarah kepada program vaksinasi melibatkan remaja berusia 12 tahun ke atas.

KKM dilapor meluluskan secara bersyarat penggunaan vaksin CoronaVac kepada golongan yang berumur 12 tahun dan ke atas.

Keputusan itu diberikan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-364 yang bersidang pada Jumaat sebagaimana dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Walau bagaimanapun, PBKD menyarankan agar penggunaan vaksin CoronaVac dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun buat masa ini diutamakan kepada remaja tanpa komorbiditi dan yang mempunyai masalah alahan atau tidak sesuai untuk menerima vaksin Comirnaty.

Dalam perkembangan berkaitan, penjelasan ibu kepada seorang remaja 13 tahun yang videonya tular kerana longlai dipercayai selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV Encore, Klebang turut menjadi tumpuan.

Ulfah Amat Daris, 41, yang kecewa dengan dakwaan tersebut menjelaskan anaknya Muhammad Azim Hassan, 13, hanya terlalu gementar untuk menerima suntikan vaksin berkenaan bukannya kerana kesan sampingan daripada vaksin berkenaan.

"Yang paling saya kecewa, dia kata anak saya sudah meninggal dunia, sampai macam itu sekali.

"Jangan takut ambil vaksin, anak saya rebah kerana terlalu gementar, bukan kerana kesan sampingan vaksin Covid-19," katanya seperti yang dilaporkan pada Jumaat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo juga dilapor menafikan dakwaan seorang pelajar perempuan di daerah Baling meninggal dunia selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.

Beliau menjelaskan, mangsa merupakan seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta bukan lagi pelajar sekolah.

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan 'ruptured thoracic aneurysm' dan tiada kaitan dengan suntikan vaksin Covid-19. Laporan penuh bedah siasat sedang disediakan," katanya.

Masih berkaitan vaksin, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin juga dilapor menjelaskan bahawa kebenaran ‘dine-in’ atau makan di restoran dan premis-premis lain masih terhad kepada individu lengkap vaksinasi Covid-19 dan terpakai di semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ini selepas peralihan fasa membabitkan beberapa negeri mencetuskan kekeliruan orang ramai berhubung kebenaran untuk ‘dine-in’.