Pembukaan sekolah selamat, ibu bapa tidak perlu risau

Pembukaan semula sekolah di seluruh negara mulai 3 Oktober ini selepas ia ditutup bagi tempoh yang agak lama akan mewujudkan persekitaran yang selamat sekali gus mampu mengembalikan semangat murid.
Pembukaan semula sekolah di seluruh negara mulai 3 Oktober ini selepas ia ditutup bagi tempoh yang agak lama akan mewujudkan persekitaran yang selamat sekali gus mampu mengembalikan semangat murid.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembukaan semula sekolah di seluruh negara mulai 3 Oktober ini selepas ia ditutup bagi tempoh yang agak lama akan mewujudkan persekitaran yang selamat sekali gus mampu mengembalikan semangat murid.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Wang Heng Suan berkata, ia susulan dokumen Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 oleh Kementerian Pendidikan (KPM) setebal 120 halaman, memberikan fokus utama dari segi pembersihan di sekitar kawasan sekolah.

"Antaranya, permukaan yang sering disentuh perlu sentiasa disanitasi, laluan pergerakan murid, waktu rehat dan beberapa lagi ciri-ciri keselamatan selain rutin harian iaitu saringan suhu murid, memastikan murid memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal seperti ketetapan KPM," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, NUTP yakin pembukaan sekolah secara berperingkat juga merupakan sebahagian cara KPM mengenal pasti situasi dan keadaan dalam mengawal penularan Covid-19.

Pembukaan sekolah akan dilaksanakan secara berperingkat bermula esok khususnya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan dan ia membabitkan kelompok pelajar tertentu di negeri-negeri fasa dua dan ke atas di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pembukaan semula sesi persekolahan akan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan dengan kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi mengurangkan bilangan di dalam kelas dan risiko penularan Covid-19.

Wang berkata, NUTP berharap semua pentadbir dan guru sekolah mengikut garis panduan yang ditetapkan dan menjadikan ia sebagai rujukan dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi ketika murid berada di sekolah.

Beliau berkata, garis panduan itu cukup lengkap penerangan dan langkah yang perlu diuruskan dalam memastikan keselamatan murid termasuk menyarankan pihak pentadbir sekolah mewujudkan Jawatankuasa Covid-19 di peringkat sekolah.

Artikel Berkaitan:

Garis panduan itu turut memaklumkan guru atau kakitangan sekolah yang tidak mahu menerima vaksin tidak dibenarkan berada atau ditempatkan di dalam ruang yang sama dengan mereka yang lengkap vaksinasi.

Justeru, hanya guru dan kakitangan yang telah menerima vaksin lengkap akan bertugas di sekolah dan ia akan mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat kepada murid-murid.

Sebanyak 97.5 peratus guru telah divaksin sekurang-kurangnya satu dos, anggota kumpulan pelaksana (97 peratus) dan Pegawai Perhubungan Sekolah (90.6 peratus) setakat 11 Sept lepas.

Turut senada adalah Presiden Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan yang berkata, kesiapsiagaan persekitaran sekolah yang bersih dan pengambilan vaksinasi oleh majoriti golongan guru serta pelajar yang ke sekolah akan menjadikan pembukaan sekolah kali ini lebih selamat.

Beliau berkata, garis panduan oleh KPM mencakupi semua yang berkaitan perjalanan pengurusan sekolah khususnya semasa pandemik dan endemik kelak.

"Kawalan pelajar semasa dan selepas sekolah dengan kehadiran pelajar 50 peratus dibantu oleh pihak penguat kuasa serta sukarelawan. Kawalan waktu makan, aturan di makmal, bilik air dan tempat solat juga mencukupi.

"Jadi, tentu sekolah memang selamat dan mampu kembalikan keceriaan serta semangat pelajar untuk terus seronok menimba ilmu yang dikehendaki," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, ibu bapa dan warga pendidik perlu sentiasa waspada dan tidak merasa selesa sepenuhnya meskipun tiada paksaan atau tindakan bagi ibu bapa yang tidak menghantar anak ke sekolah. - Bernama