'Kerja rumah' Melaka United berhasil

Pertahanan Melaka United, Sukwon Jang (kanan) beraksi cemerlang apabila mematahkan asakan pemain KDA pada aksi Kumpulan C saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman. - Foto Kedah Darul Aman FC
Pertahanan Melaka United, Sukwon Jang (kanan) beraksi cemerlang apabila mematahkan asakan pemain KDA pada aksi Kumpulan C saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman. - Foto Kedah Darul Aman FC
A
A
A

PENGENDALI Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan menyifatkan dua kemenangan dilakar anak buahnya dalam aksi Kumpulan C saingan Piala Malaysia adalah hasil 'kerja rumah' sebelum ini yang berjaya diselesaikan pemain-pemainnya.

“Kami telah membuat 'kerja rumah' dengan menganalisis segala kelemahan yang dilakukan pasukan dalam saingan Liga Super sebelum ini sebagai persediaan sebelum Piala Malaysia bermula.

“Hasilnya pemain-pemain telah berjaya menunjukkan banyak perkembangan positif apabila memenangi dua perlawanan awal peringkat kumpulan ini.

“Boleh dikatakan dua perlawanan ini mereka menunjukkan disiplin tinggi selain mengurangkan kesilapan-kesilapan mudah. Saya percaya kelab ini boleh menjadi lebih baik lagi jika tahap keyakinan dalam kalangan pemain dapat ditingkatkan lagi,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada Khamis.

Skuad kendalian Zainal Abidin meneruskan momentum positif ketika menjinakkan Negeri Sembilan FC, 2-0 sebelum ini dengan menjadikan Kedah Darul Aman (KDA) FC mangsa seterusnya apabila menewaskan lawan 3-1 dalam aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Pada masa sama, Zainal Abidin mengingatkan pemain-pemainnya supaya tidak terbawa-bawa dengan dua kemenangan tersebut sebaliknya memberikan sepenuh tumpuan dalam baki perlawanan peringkat kumpulan.

“Saya berharap pemain-pemain dapat mengekalkan rentak kemenangan ini pada perlawanan seterusnya, kedudukan masih belum selamat kerana masih ada empat perlawanan yang perlu diharungi lagi bagi peringkat kumpulan.

“Jangan leka sebaliknya lupakan dua kemenangan ini kerana masih terdapat lagi perlawanan yang perlu diberikan perhatian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, Melaka United memanfaatkan tiga peluang dimiliki apabila menterjemahkannya dalam bentuk jaringan dalam perlawanan tersebut.

Malah menurut Aidil Sharin, kesilapan dilakukan pemain Hijau Kuning telah membuka ruang kepada pemain pelawat menghukum tuan rumah sewajarnya menjadi pengajaran berguna agar tidak berulang pada perlawanan seterusnya.

“Malam ini banyak kelemahan yang ditunjukkan seperti penerimaan 'second ball' yang tidak menjadi selain kita gagal bertahan dengan baik dan kelemahan-kelemahan ini yang perlu dilihat dan dibaiki.

“Kami perlu menerima kekalahan ini dan masih mempunyai peluang untuk terus merebut kedudukan kumpulan. Selepas ini kita akan berdepan Negeri Sembilan dan tidak boleh melakukan kesilapan yang sama lagi,” katanya.