Peniaga tidak semak sijil vaksin pelanggan

Peniaga seharusnya memastikan pelanggan yang memasuki premis menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan individu berkenaan menerima vaksinasi lengkap.
Peniaga seharusnya memastikan pelanggan yang memasuki premis menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan individu berkenaan menerima vaksinasi lengkap.
A
A
A

SHAH ALAM - Meskipun peniaga diminta untuk memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan kad atau sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan individu berkenaan menerima vaksinasi lengkap namun rata-rata peniaga dilihat bersikap sambil lewa terhadap arahan tersebut.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa premis perniagaan sekitar Shah Alam mendapati kebanyakan pengunjung hanya mengimbas kod QR MySejahtera dan mencatat suhu badan di pintu masuk tanpa menunjukkan sijil vaksinasi.

Berdasarkan pemerhatian di sebuah pasar pagi di sini, seramai tiga orang petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditempatkan di hadapan pintu masuk namun tidak ada salah seorang daripada mereka yang menyemak status vaksinasi pengunjung.

Seorang penuntut di institut pengajian tinggi (IPT) swasta yang juga pengunjung pasar pagi itu, Farah Aizah Norhisham, 19 akui petugas memang tidak pernah meminta untuk menyemak sijil vaksinasi digitalnya.

“Mereka hanya tengok sudah imbas kod MySejahtera atau belum sahaja tapi tidak semak pun sijil vaksin. Sesetengah kedai ada semak, tapi pasar pagi ini tidak ada pula. Biasanya saya tengok dalam dua atau tiga orang yang jaga pintu depan tapi tiada seorang pun minta tunjuk sijil vaksin.

“Seharusnya mereka perlu semak sebab takut golongan yang antivaksin akan ambil kesempatan. Mereka akan fikir boleh saja lepas ke mana-mana walaupun tidak divaksin,” katanya.

Menurut jururawat hospital swasta yang ingin dikenali sebagai Lali, 29, berkata, petugas di pintu masuk pasar tersebut sepatutnya menyemak sijil vaksin setiap pengunjung yang hadir agar tahu status vaksinasi mereka.

Katanya, pemilik juga perlu mengehadkan jumlah pengunjung yang hadir dalam satu-satu masa kerana agak berisiko jika terlalu ramai orang datang dalam tempoh yang sama.

Artikel Berkaitan:

Pekerja di kedai gunting rambut sekitar Shah Alam sedang menyemak status sijil vaksinasi Covid-19 pelanggan.
Pekerja di kedai gunting rambut sekitar Shah Alam sedang menyemak status sijil vaksinasi Covid-19 pelanggan.

“Petugas kena semak sijil vaksinasi pengunjung agar tahu status sebab ramai kan, jadi dengan cara ini baru boleh tahu siapa yang dah vaksin atau belum,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Selain pasar pagi, terdapat beberapa premis makanan turut tidak menitikberatkan arahan kerajaan untuk menyemak sijil vaksinasi digital pelanggan sebelum membenarkan mereka ‘dine-in’.

Ada kedai makan yang langsung tidak menempatkan penjaga di bahagian semakan MySejahtera dan pelanggan bebas mengambil tempat duduk masing-masing setelah mengimbas kod MySejahtera.

Menurut Lubis Firdaus Anwar Sentosa, 25, guru, kekurangan kakitangan mungkin menjadi penyebab sesebuah kedai itu tidak dapat menyemak mySejahtera pelanggan secara kerap.

“Kalau ikutkan dulu pekerja kedai sini ramai, sekarang mungkin sebab kekurangan tenaga jadi tidak ada yang jaga bahagian semakan MySejahtera.

“Tetapi sepatutnya mereka kena ikut apa yang ditetapkan kerajaan, kena semak juga sama ada pelanggan sudah cukup dua vaksin terutamanya untuk dine-in.

“Ini kali kedua saya datang dan memang tidak ada yang semak. Takut nanti golongan antivaksin semakin berani ikut cara mereka sendiri,” ujarnya.

Tinjauan di pasar pagi sekitar Shah Alam mendapati petugas tidak menyemak sijil digital vaksinasi Covid-19 pengunjung sebelum dibenarkan masuk.
Tinjauan di pasar pagi sekitar Shah Alam mendapati petugas tidak menyemak sijil digital vaksinasi Covid-19 pengunjung sebelum dibenarkan masuk.

Sementara itu, bagaimanapun, masih terdapat beberapa kedai makan dan premis-premis lain yang mengambil langkah menyemak sijil vaksinasi pelanggan terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk.

Seorang pekerja kedai makan, Khairena Hafizah Huda Khairol Umam, 21 berkata, mereka akan pastikan pelanggan yang ingin makan di kedai menunjukkan status vaksinasi sebelum dibenarkan masuk.

“Kita akan minta mereka tunjuk mySejahtera untuk tengok sudah lengkap vaksin atau belum, kalau hanya satu dos vaksin atau belum cukup 14 hari kita hanya benarkan bungkus sahaja.

“Tindakan ini memang perlu bukan sahaja untuk keselamatan pelanggan, tetapi juga akan berkait dengan tahap kesihatan pekerja kedai sendiri,” jelasnya.

Pekerja di kedai gunting rambut, Muhammad Aizat Mohd Jamil, 22 berkata, premis mereka hanya akan mengambil upah pelanggan yang sudah lengkap divaksinasi sahaja.

“Sepatutnya semua pemilik atau pekerja perlu semak sebelum mereka masuk kedai. Kerajaan sudah beri kelonggaran untuk buka premis, jadi mesti ikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” kata Muhammad Aizat.

Sementara itu, tinjauan di pasar raya mendapati terdapat seorang pengawal keselamatan yang ditugaskan untuk menjaga pintu masuk utama bagi membuat pengesahan pelanggan sebelum masuk.

Seorang pelanggan Afifah Athla, pengurus projek, 27 berkata, pasar raya di sini lebih selamat berbanding tempat lain kerana lebih teratur dan mengikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Saya memang membeli barangan dapur di sini kerana pengawalan dari segi SOP, jumlah pelanggan dalam satu-satu masa dan persekitaran yang selamat serta selesa antara punca utama pasar raya ini menjadi pilihan setiap bulan.

“Memang penting untuk memeriksa sijil vaksin digital setiap pelanggan sebab ramai antara kita masih belum lengkap menerima dos.

“Saya harap pihak pengurusan dan pemilik kedai-kedai lain dapat memastikan pelanggan mempunyai sijil vaksin digital dan ikuti SOP,” jelasnya.