Tekad bukti keupayaan bersama Harimau Malaya

Al Hafiz dan Quentin bersama pemain-pemain Penang FC. - Foto Penang Football Club
Al Hafiz dan Quentin bersama pemain-pemain Penang FC. - Foto Penang Football Club
A
A
A

DUA pemain muda Penang FC, Mohamad Al Hafiz Harun dan Quentin Cheng bertekad untuk membuktikan keupayaan masing-masing setelah dipilih mewakili Harimau Malaya bagi aksi persahabatan antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan.

Bercita-cita untuk menjadi pemain profesional sejak kecil, Al Hafiz, yang kali pertama dipanggil menyertai skuad kebangsaan mengakui terkejut apabila dipilih namun berhasrat untuk membuktikan bahawa pemilihannya untuk mewakili negara tidak akan disia-siakan.

Menurutnya, beliau sudah tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk dipilih menyertai pasukan kebangsaan kerana merasakan prestasinya agak menurun selepas mengalami kecederaan ringan di akhir-akhir perlawanan Liga Super baru-baru ini.

“Saya akan mengambil peluang keemasan ini sebaik mungkin terutamanya dari segi pengalaman berlatih dengan pemain handal yang lain kerana jujur sebagai pendatang baru, saya merasa bersyukur dan rendah diri dalam masa yang sama.

“Namun, saya tetap bersemangat untuk bersama-sama berganding bahu untuk berdepan dengan pasukan dari Jordan dan Uzbekistan nanti,” katanya dalam temu ramah menerusi aplikasi Zoom.

Al Hafiz yang beraksi untuk Penang FC (dahulunya Penang FA) selama tiga tahun berjaya menarik perhatian pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berdasarkan prestasinya sebagai pemain tengah untuk Penang FC sepanjang saingan liga lalu.

Sementara itu, Quentin Cheng pula menyifatkan pemilihan untuk mewakili negara adalah suatu persaingan sengit kerana terdapat ramai pemain handalan yang nama mereka semakin melonjak di persada bola sepak tanah air.

Katanya, pemilihannya untuk menyertai skuad kebangsaan merupakan batu loncatan buat kariernya sebagai pendatang baharu dalam arena bola sepak tanah air.

Artikel Berkaitan:

“Setiap pemain bola sepak akan menyasarkan untuk menyertai pasukan kebangsaan, ia adalah peringkat yang paling tinggi kerana kita mewakili negara di persada antarabangsa. Jadi sudah tentu ia merupakan cita-cita saya namun pada awalnya saya tidak meletakkan harapan yang tinggi,” katanya.

Mengimbau perjalanannya sepanjang Liga Super, Quentin mengaku gementar dan berusaha mengawal diri untuk tidak melakukan kesilapan apabila menerima kunjungan jurulatih kebangsaan di beberapa perlawanan untuk memilih pemain yang akan disenaraikan dalam skuad kebangsaan.

Al Hafiz dan Quentin antara enam muka baharu yang dipilih oleh Cheng Hoe untuk melengkapkan senarai 24 pemain yang akan menyertai latihan pusat skuad Harimau Malaya.

Harimau Malaya dijadualkan berlepas ke Jordan pada 2 Oktober, bakal menentang tuan rumah pada 6 Oktober dan akan bertemu Uzbekistan pada 9 Oktober sebagai persediaan bagi saingan Piala AFF 2020 yang akan berlangsung pada 5 Disember depan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Indonesia, Laos dan Kemboja dalam saingan Piala AFF 2020 yang akan berlangsung di Singapura. - Bernama