X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Kertas siasatan kes rusuhan diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya

Laporan Sinar Harian mengenai kejadian di Salak Selatan pada Selasa.
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah menyerahkan laporan kertas siasatan berhubung kes rusuhan di sebuah tokong di Salak Selatan di sini kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya telah menyerah kertas siasatan itu dengan cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 148, Seksyen 186 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

"Selain itu, cadangan pertambahan pertuduhan di bawah Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

"Ia memandangkan kesemua suspek telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan iaitu berkumpul beramai-ramai di tempat awam," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya menahan seramai empat lelaki berusia antara 18 hingga 50 tahun pada hari kejadian.

"Kesemua suspek itu telah direman selama dua hari bermula Rabu hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dengan menggunakan senjata berbahaya dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan: Empat ditahan bantu siasatan, halang pembinaan jalan

Kes amuk: Polis akan keluarkan kenyataan media

Menurut beliau, pihaknya berjaya menahan dua lelaki lagi berusia 38 dan 56 tahun pada jam 8.30 malam, Rabu.

"Kita telah mengepung kawasan tokong untuk membuat tangkapan pada jam 1.30 pagi, Khamis, namun pihak tokong telah menyerah diri serta menyerahkan satu surat permohonan maaf yang ditujukan kepada polis.

"Kita telah menahan seramai 12 lelaki dan enam wanita berusia antara 18 hingga 84 tahun, namun kita membebaskan dua suspek dengan jaminan polis atas faktor usia.

Muhammad Idzam memaklumkan susulan tangkapan 24 individu itu, polis telah berjaya menangkap kesemua suspek yang terlibat dalam kejadian rusuhan tersebut.

Pada Selasa, satu video berkaitan isu itu telah tular di media sosial.

Muhammad Idzam dalam kenyataannya pada Selasa menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian tersebut.

Beliau berkata, dalam kejadian pada jam 11.45 pagi hingga jam 4 petang itu, satu operasi telah dijalankan oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk membina pagar penghadang ‘hoarding' bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sebuah sekolah berhampiran sebuah tokong di Salak Selatan.

Bagaimanapun katanya, semasa operasi sedang dijalankan terdapat kira-kira 30 orang lelaki dan perempuan membawa kayu dan besi bertindak menghalang serta memecahkan cermin jentolak selain menyerang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!