'Erwan bukan lagi ketua bahagian sejak Oktober tahun lalu'

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Putrajaya menjelaskan bahawa Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir tidak lagi memegang jawatan Ketua Bersatu Bahagian Putrajaya sewaktu mengumumkan keluar parti untuk kembali ke pangkuan UMNO pada Jumaat.

Dalam satu kenyataan, Bersatu Putrajaya berkata, Erwan telah meletakkan jawatan selaku Ketua Bahagian dengan disaksikan Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian dan Ketua Cawangan pada 10 Oktober 2020 selepas tewas dalam pemilihan jawatan Naib Presiden.

“Sepanjang tempoh kekosongan jawatan tersebut, Timbalan Ketua Bahagian, Mohd Fathul Azam Hashim telah memangku sekali gus menyandang jawatan Ketua Bahagian Bersatu Putrajaya,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Bersatu Putrajaya keluar parti, kembali sertai UMNO

Sebelum ini, Erwan mengumumkan keluar daripada parti itu serta-merta dan kembali menyertai UMNO.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana beliau yakin hanya UMNO dapat memartabat dan mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, perlembagaan Malaysia serta Raja-raja Melayu seperti dinyatakan dalam asas penubuhan UMNO.

Bagaimanapun, Bersatu Putrajaya berkata, pihaknya tidak terkesan dengan tindakan Erwan kerana parti tersebut kini semakin mendapat sambutan keahlian daripada warga Putrajaya.

“Bersatu Putrajaya juga berjaya menubuhkan sembilan cawangan baru dengan keahlian sebanyak 1,030 ahli dan giat menyantuni penduduk Putrajaya dengan pelbagai program dan bantuan,” kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: