X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 23 Januari 2022

Asyraf Wajdi dedah tuntutan rakyat bakal diumumkan dalam Bajet 2022

Hantaran di Facebook Asyraf Wajdi pada Jumaat.
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi bayangan bahawa tuntutan rakyat yang dibangkitkan Pemuda UMNO termasuk pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara 'one-off' bakal dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kepadanya terdapat tuntutan yang akan diumumkan dalam Bajet 2022 kelak.

"Malam kelmarin, selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi, sempat ‘follow-up’ beberapa isu utama untuk diberikan perhatian Perdana Menteri, antaranya tuntutan rakyat mengenai KWSP i-Citra RM10,000 secara 'one-off', moratorium tanpa faedah terakru dan isu-isu kebajikan dan keselamatan pekerja muda dalam industri ekonomi gig, khususnya P-hailing dan E-hailing.

"Perdana Menteri menyatakan bahawa perkara-perkara yang Pemuda UMNO bangkitkan itu telah diminta untuk Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengambil tindakan. Ada yang akan diumumkan dalam Bajet 2022 nanti," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Jumaat.

Asyraf berkata, beliau telah memaklumkan agar harapan rakyat itu dapat disegerakan terutama berhubung moratorium dan i-Citra.

"Ini kerana ramai sangat yang berharap dan berada dalam keadaan terdesak. Moga sama-sama doakan agar yang diharapkan ini bakal menjadi kenyataan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!