PRU15: Bersatu sedia tanding tiga, empat penjuru

Mohd Redzuan (dua dari kiri) menyaksikan penyerahan dokumen selepas majlis MoU antara Syarikat Sersol Energy Sdn Bhd, Aeroleum Sdn Bhd dan Silicon Designs (M) Sdn Bhd di Menara MSC Cyberport, Johor Bahru pada Jumaat.
Mohd Redzuan (dua dari kiri) menyaksikan penyerahan dokumen selepas majlis MoU antara Syarikat Sersol Energy Sdn Bhd, Aeroleum Sdn Bhd dan Silicon Designs (M) Sdn Bhd di Menara MSC Cyberport, Johor Bahru pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perikatan Nasional (PN) boleh melakukan perbincangan dengan UMNO untuk bergabung dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, cadangan itu adalah bagi memastikan kepimpinan Melayu dapat terus dikekalkan sekiranya PN menang PRU15.

"UMNO tidak pernah ada dalam PN. PN ditubuhkan dengan penaja awal iaitu Bersatu, Pas dan parti-parti kecil lain. Jadi kita sarankan kerjasama untuk gabungan parti yang berasaskan kepimpinan dan perjuangan Melayu.

"Ini untuk kita hadapi PRU dan menang dengan lebih besar. Ini bagi melestarikan kepimpinan Melayu itu sendiri, kalau kita berpecah, PN, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak bersama-sama, nanti tiada parti yang majoriti untuk bentuk kerajaan pada PRU15.

"Jadi kena ada gabungan tetapi terpulang (kepada UMNO mahu sertai gabungan PN dalam PRU15)," katanya yang juga Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Memorandum persefahaman (MoU) antara Syarikat Sersol Energy Sdn Bhd, Aeroleum Sdn Bhd dan Silicon Designs (M) Sdn Bhd di Menara MSC Cyberport, di sini pada Jumaat.

Mohd Redzuan mengulas mengenai Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Khamis yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berlangsung tanpa kehadiran wakil UMNO.

Dalam mesyuarat tersebut, parti-parti komponen PN telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada PRU15 melibatkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat tersebut dihadiri parti komponen PN iaitu Bersatu, Pas, Star Sabah, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Gerakan.

Mohd Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, sekiranya UMNO tidak menyertai PN dalam PRU15, Bersatu sedia untuk bertanding tiga atau empat penjuru melawan parti tersebut di mana-mana kerusi.

Mengenai MPT Bersatu yang melantik Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Edmund Santhara Kumar sebagai Ketua Sayap Bersekutu pertama parti itu, beliau berkata, itu merupakan satu perubahan dalam Bersatu yang akan menjadi parti berbilang kaum.

"Persaingan kita selepas ini mungkin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang 'multi racial'. Ada juga kebaikannya orang-orang bukan Melayu mungkin tertarik sertai Bersatu jika mereka rasa PKR tidak boleh memimpin mereka," katanya.