192,000 usahawan terjejas disaran daftar, carum Perkeso

Noh (dua dari kanan) bertanya sesuatu kepada salah seorang penerima faedah pemulihan pada Majlis Perasmian Ulang Tahun Ke-50 Perkeso Cawangan Tanjong Karang pada Jumaat.
Noh (dua dari kanan) bertanya sesuatu kepada salah seorang penerima faedah pemulihan pada Majlis Perasmian Ulang Tahun Ke-50 Perkeso Cawangan Tanjong Karang pada Jumaat.
A
A
A

TANJONG KARANG - Seramai 192,000 usahawan terjejas yang mendapat pembiayaan di bawah Kementerian Usahawan dan Koperasi (MEDAC) disaran mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mendapatkan perlindungan pada masa depan.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, insiatif di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) itu bakal memberi manfaat kepada pencarum antaranya seperti faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara dan faedah hilang upaya kekal.

Menurutnya, faedah caruman itu sudah tentu memberi bantuan kepada peniaga khususnya golongan B40.

"Banyak pakej ditawarkan Perkeso kepada waris jika berlaku sesuatu tidak diingini hingga ada (pencarum) yang meninggal dunia, Perkeso membayar RM1,000 kepada waris," katanya pada sidang akhbar pada Majlis Perasmian Ulang Tahun Ke-50 Perkeso Cawangan Tanjong Karang, di sini pada Jumaat.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, kadar caruman juga serendah RM157.20 setahun atau RM13.10 sebulan.

"Kadar ini masih rendah dengan pelbagai faedah dan perlindungan yang boleh diperoleh jika berlaku kemalangan atau bencana kepada usahawan (pencarum)," jelasnya.

Bagaimanapun, Noh menjelaskan, perkara itu masih di peringkat cadangan dan akan dibincangkan kementeriannya dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam waktu terdekat.

Katanya, pada permulaan, seramai 300 usahawan di Parlimen Tanjong Karang akan dipanggil untuk mendengar taklimat daripada Perkeso.

Artikel Berkaitan:

"Buat permulaan, kita akan kumpul usahawan di Parlimen Tanjong Karang untuk diberi penerangan tentang kelebihan mendaftar dan mencarum dengan Perkeso," katanya.