PRK DUN Rantau: Peluang BN, PH sama rata

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Komposisi kaum di DUN Rantau bukan jaminan untuk mana-mana parti bertanding memperoleh kemenangan mudah.

Penyandang kerusi DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, situasi itu menyebabkan beliau yang akan menjadi calon BN dan bakal calon PH perlu bekerja keras untuk mencari kemenangan dalam PRK tersebut.

“Saya khususnya akan mempertahankan kerusi tersebut, perlu bekerja lebih kuat dan tertib. Sudah tentu saya bersedia dan seperti saya cakap bahawa saya tak akan lari, saya tak akan lari.

“Itu kampung saya tempat saya membesar sekolah dan lahir di situ. Tak akan saya nak lari,” katanya ketika ditemui media di Menara Datuk Onn selepas mesyuarat jawatankuasa induk UMNO dan Pas.

Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden berkata, beliau berharap calon lawan akan bertanding secara matang dan memberi peluang kepada masyarakat memilih secara demokrasi.

“Apa rakyat pilih itu yang akan mewakili mereka. Kita tak perlu melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam peraturan pilihan raya,” katanya.

Menurutnya, selepas PRU14 dan kemenangan BN dalam dua PRK baru-baru ini, sokongan akar umbi terhadap UMNO dan BN di DUN Rantau dilihat semakin menggalakkan.

Walau bagaimanapun, Mohamad berkata, walaupun akar umbi Bersatu tidak sekuat sokongan PKR tetap menjadi ancaman kepada BN dan UMNO.

Artikel Berkaitan:

“Tak boleh pandang ringan walaupun tak sehebat dijangkakan. Perlu berhati-hati dan bekerja kuat untuk pastikan kerusi Rantau kekal milik BN,” ujarnya.

Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan parti itu tidak akan bertanding di kerusi DUN Rantau, Negeri Sembilan pada PRK kerana kawasan itu sudah diperuntukkan kepada PKR.