Lelaki tempatan, wanita China disyaki edar dadah ditahan

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

MIRI - Seorang wanita warga China bersama teman lelakinya yang merupakan rakyat tempatan ditahan di sini pada Khamis kerana disyaki memiliki dadah dianggarkan bernilai RM148,000 melibatkan serbuk ekstasi seberat kira-kira 7.6 kilogram (kg) dan 590 biji pil ekstasi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, wanita berumur 33 tahun dan teman lelakinya itu, 30, ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah yang diduduki mereka di Piasau di sini kira-kira jam 5.30 petang pada Khamis.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas rumah itu dan sebuah kereta yang diparkir di kawasan premis terbabit membawa kepada penemuan serbuk ekstasi itu yang dibungkus dalam 198 peket plastik yang berat kasarnya di antara 600 gram (g) dan 3.5kg.

“Turut ditemukan adalah 590 biji pil disyaki ecstasi yang disimpan di dalam satu plastik hitam dengan berat kasar 205g dianggarkan bernilai RM29,500,” katanya dalam satu sidang media di sini pada Jumaat.

Mohd Sabri berkata, sebuah beg berjenama Louis Vuitton dianggarkan bernilai RM6,500, satu dompet jenama Dior (RM2,500), seutas jam tangan Tudor (RM12,000), seutas jam tangan Tag Heuer (RM7,000) dan satu loket emas (RM1,000) turut dirampas dari pasangan itu.

“Saringan awal air kencing kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Amphetamine dan ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: