X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Pacu peralihan sumber tenaga

Takiyuddin (tengah) mendengar taklimat daripada Ketua Operator Sistem Grid, Ir Shanmugam Thoppalan (kiri) mengenai operasi TNB di Bilik Kawalan Pusat Kawalan Muatan Kuasa Nasional, Selasa lalu.
A
A

SHAH ALAM - Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan pendirian untuk bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam memacu peralihan sumber tenaga di Malaysia.

Beliau berkata, komitmen itu tepat pada masanya berikutan TNB sedang dalam rundingan dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi memuktamadkan cadangan Tempoh Regulatori Ketiga (RP3) di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) untuk dilaksanakan mulai tahun depan.

“Saya amat bangga dan cukup berpuas hati dengan penerangan serta penjelasan ke hadapan (way forward) yang telah disampaikan kepada saya.

"Kita boleh menilai betapa besarnya sumbangan industri tenaga ini kepada kehidupan rakyat,” katanya ketika mengadakan lawatan kerjanya yang pertama di Ibu Pejabat TNB di Bangsar pada Selasa.

Tempoh tiga tahun RP3 dijadualkan bermula pada 1 Januari 2022 susulan tempoh RP2 dilanjutkan setahun sehingga 31 Disember ini berikutan pandemik Covid-19.

Pelaksanaan RP3 dijangka membolehkan TNB mengukuhkan peranan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk dari aspek kajian tarif dan pelaburan modal bagi tempoh tiga tahun akan datang, seiring untuk memenuhi keperluan peralihan tenaga negara.

Dalam pada itu, Takiyuddin turut menyifatkan TNB sebagai jantung negara dalam industri tenaga dengan memberi jaminan untuk bersama-sama dengan TNB mencari penyelesaian terbaik bagi menyeimbangkan kehendak industri, selain menunaikan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

“TNB mempunyai tanggungjawab besar untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, selain menyeimbangkan perancangan aspek-aspek tertentu agar kekal memberikan sumbangan dan memenuhi kehendak industri.

“Justeru, saya akan sentiasa berusaha untuk memastikan keseimbangan ini. Saya akan bersama-sama dengan kepimpinan TNB mencari penyelesaian terbaik bagi menyeimbangkan antara kedua-dua tanggungjawab ini,” jelas beliau.

Dalam lawatan selama lebih tiga jam itu, beliau turut didedahkan dengan operasi sistem grid dan pemantauan bekalan elektrik 24 jam yang berdaya harap kepada lebih sembilan juta pelanggan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, TNB adalah antara agensi yang menggerakkan kemajuan negara, malah berpotensi menjadi pelopor kepada pembangunan ekonomi baharu negara.

Sepanjang pandemik, beliau berkata, TNB telah membantu kerajaan dengan pemberian diskaun bil elektrik berjumlah RM313 juta untuk tahun 2020 dan 2021 kepada rakyat, selain bantuan menerusi pelbagai inisiatif lain seperti program Bakul Prihatin Negara bernilai RM2 juta.

“TNB juga berbangga dapat berbakti kepada rakyat dan negara, antaranya melalui aktiviti tanggungjawab sosial, program pembangunan vendor dan lain-lain berjumlah RM21 bilion bagi tempoh Januari 2018 hingga 31 Ogos 2021.

“TNB turut melakukan inisiatif tersendiri bagi membantu golongan terkesan dari segi ekonomi akibat pandemik melalui Tabung Warga TNB Prihatin yang berjaya meraih sumbangan hampir RM3.3 juta dan telah membantu 5,729 penerima setakat ini,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!