Jalan Sapulut-Pekan Pegalungan siap tiga tahun lagi

Arthur menyampaikan sumbangan kepada pelajar yang berjaya ke IPT pada majlis penyampaian sumbangan pelajaran kepada pelajar cemerlang Parlimen Pensiangan, di Keningau.
Arthur menyampaikan sumbangan kepada pelajar yang berjaya ke IPT pada majlis penyampaian sumbangan pelajaran kepada pelajar cemerlang Parlimen Pensiangan, di Keningau.
A
A
A

KENINGAU - Kerja menaik taraf jalan Sapulut ke Pekan Pegalungan sudah mula dilaksanakan sejak Julai lalu secara berperingkat dan mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pelaksanaan kerja naik taraf jalan sejauh 38 kilometer itu memberi manfaat bukan saja penduduk setempat tetapi guru serta pelajar di sekitar kawasan berkenaan.

"Menerusi kerja-kerja menaik taraf jalan ini, jarak perjalanan dari Sapulut ke Pekan Pagalungan akan disingkatkan dari tiga jam kepada satu jam.

"Pasti ia akan memberikan kegembiraan kepada ibu bapa dan guru kerana usaha ini pasti akan memudahkan urusan persekolahan anak-anak selepas ini," katanya kepada pemberita selepas hadir pada majlis penyampaian sumbangan pelajaran kepada pelajar cemerlang Parlimen Pensiangan, di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, beliau juga kini dalam usaha untuk menaik taraf beberapa sekolah daif selain peka terhadap masalah capaian internet di kawasannya.

"Saya sedang dalam usaha untuk menaik taraf beberapa sekolah daif di kawasan Parlimen Pensiangan antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Nabawan, SK Pekan Pensiangan, SK Sepulot, SK Ponontomon dan banyak lagi yang tidak dapat untuk saya nyatakan satu persatu.

"Bagi mengatasi masalah capaian internet di kawasan Parlimen Pensiangan, sebanyak 46 menara telekomunikasi yang baharu sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada penghujung tahun 2022.

"Apabila menara ini siap kelak, kita akan dapat menikmati rangkaian telekomunikasi yang lebih baik serta akses kepada capaian internet yang lebih pantas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Arthur, usaha itu adalah bagi memastikan pelajar dan guru mendapat kemudahan serta fasiliti yang lebih selesa.

Sebelum itu, Arthur turut menyampaikan sumbangan pendidikan kepada 100 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

"Pelbagai pendekatan telah saya laksanakan misalnya bantuan yuran pengajian, biasiswa pendidikan, bantuan pakaian, peralatan sekolah dan sebagainya.

"Program sebegini akan diteruskan setiap tahun sebagai motivasi kepada pelajar untuk mereka terus berusaha dan saya mengambil tanggungjawab untuk menyediakan yang terbaik demi masa depan anak-anak Pensiangan," katanya.