X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 26 Januari 2022

TH Plantations lantik Mohamed Zainurin sebagai CEO baharu

A
A

TH Plantations Bhd (THP) melantik Mohamed Zainurin Mohamed Zain sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya berkuat kuasa pada Jumaat.

THP, yang dimiliki 73.84 peratus oleh Lembaga Tabung Haji, turut mengumumkan pelantikan Shahrizal Suhainy sebagai Ketua Pegawai Kewangan berkuat kuasa hari yang sama.

Syarikat itu dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, Mohamed Zainurin, 54, sebelum ini merupakan pengawal kewangan New Britain Palm Oil Ltd, anak syarikat Sime Darby Plantation Bhd yang berpangkalan di Papua New Guinea, dan mempunyai lebih 30 tahun pengalaman pengurusan dalam pelbagai sektor korporat.

Sementara itu, Shahrizal, 37, merupakan juruaudit utama dengan KPMG Desa Megat & Co dan mempunyai lebih 12 tahun pengalaman dalam pengauditan dan penstrukturan semula syarikat dalam pelbagai industri.

THP berkata, lembaga pengarah mengalu-alukan pelantikan kedua-dua Mohamed Zainurin dan Shahrizal serta berharap pelantikan mereka berdua dapat memacu momentum rancangan pemulihan syarikat itu.

Lembaga Pengarah juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Muzmi Mohamed, yang telah menyempurnakan tugas beliau pada 30 Sept, 2021 atas kepemimpinan, komitmen dan usaha dalam memacu Pelan Pemulihan Strategik THP, yang bermula pada 2018, dan mengubah THP kembali menjana keuntungan walaupun dalam tempoh yang mencabar.

Kumpulan itu mencatat keuntungan bersih sebanyak RM41.53 juta pada setengah tahun pertama berakhir 30 Jun, 2021, daripada kerugian bersih berjumlah RM3.37 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas, manakala hasil meningkat kepada 26.4 peratus tahun ke tahun kepada RM307.39 juta. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!