X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Bunuh gengster: Bekas pelajar kolej terlepas tali gantung

mahkamah tali gantung - Gambar hiasan
A
A

PUTRAJAYA - Seorang bekas pelajar kolej terlepas ke tali gantung selepas Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat mengenepikan sabitan dan hukumannya bagi kesalahan membunuh seorang gengster.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, dalam keputusan sebulat suara, melepas dan membebaskan P. Dhivyaprabu selepas memutuskan bahawa sabitan terhadapnya bagi kesalahan membunuh adalah tidak selamat.

Beliau berkata, pengecaman Dhivyaprabu sebagai individu yang menikam mangsa, Muhammad Jeffri Abu Bakar adalah tidak memuaskan.

Katanya, panel itu mendapati hakim Mahkamah Tinggi telah melakukan penyalaharahan yang serius dalam memenuhi peruntukan Seksyen 300 Kanun Keseksaan dan menilai bukti bagi menyokong dapatan beliau.

Turut bersidang Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan.

Dhivyaprabu, 25, didapati bersalah membunuh Muhammad Jeffri, 22 dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 30 Mei 2019.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pub di Publika Hartamas, Sentul di sini antara 4 hingga 4.15 pagi pada 28 Jan 2017.

Sebelum itu, panel terbabit mendengar hujah peguam Gooi Soon Seng yang menyatakan bahawa Dhivyaprabu dan 10 rakannya termasuk tiga gadis telah ke pub tersebut untuk meraikan hari jadi seorang rakan mereka.

Selepas sesi sambutan hari jadi itu, berlaku pergaduhan dengan satu lagi kumpulan yang menyaksikan kira-kira 20 orang terlibat.

Soon Seng berkata, dalam pergaduhan itu, mangsa telah ditikam dengan sebilah pisau berukuran tiga inci.

Beliau berkata, Dhivyaprabu hendaklah dibebaskan tanpa dipanggil membela diri selepas pengecaman terhadapnya yang dibuat berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Katanya, bagaimanapun, hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu telah bergantung kepada rakaman tersebut pada peringkat pembelaan.

Soon Seng berkata, anak guamnya bertindak melarikan diri ke Johor namun kembali selepas mangsa disahkan sebagai seorang gengster terkenal dan beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Muhammad Jeffri.

Turut mewakili Dhivyaprabu ialah peguam Amer Hamzah Arshad, Joshua Tay dan Ooi Pen Lyn manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Samihah Rhazali dan Muhammad Azmi Mashud. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!