AirAsia Thailand kembang rangkaian domestik kepada 20 laluan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

AIRASIA mengembangkan lagi rangkaiannya di Thailand kepada 20 laluan pada bulan ini dalam usaha untuk merancakkan pelancongan domestik di sini.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, bermula bulan ini ia menambah laluan dari Don Mueang Airport ke Phitsanulok, Nan, Loei, Sakon Nakhon, Surat Thani, Krabi dan Trang selain sambungan serantau Chiang Mai-Hua Hin (bermula 15 Oktober) dan Chiang Mai-Phuket (bermula 16 Oktober).

“Ini adalah tambahan kepada 11 laluan yang mula beroperasi semula awal September lalu, menjadikan kesemua laluan bagi AirAsia Thailand sebanyak 20 ketika ini,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Thailand, Santisuk Klongchaiya berkata, laluan tambahan itu adalah sebagai menyokong dasar kerajaan Thai untuk menggalakkan pelancongan domestik dengan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan yang ditambah baik.

“Sokongan itu diharapkan dapat menyokong keseluruhan ekonomi dan membantu menyebarkan penjanaan hasil di seluruh negara.

“Thai AirAsia memberikan komitmen penuh untuk menyokong dasar-dasar ini dengan mengembangkan perkhidmatan domestiknya dan meningkatkan kekerapan penerbangan di laluan permintaan tinggi,” katanya.

Santisuk berkata, syarikat penerbangan itu menyaksikan sambutan menggalakkan bagi kesemua laluannya pada September, mencapai purata faktor muatan 75 hingga 80 peratus.

“Ia meningkat sehingga 90 hingga 95 peratus pada hujung minggu terutamanya bagi penerbangan ke dan dari Chiang Mai, Chiang Rai dan Hat Yai,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: