Penganggur ditahan bawa 4.5kg heroin

Noorzainy (tengah) menunjukkan heroin yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, Kepala Batas pada Jumaat.
Noorzainy (tengah) menunjukkan heroin yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, Kepala Batas pada Jumaat.
A
A
A

KEPALA BATAS- Seorang penganggur ditahan bersama dadah jenis heroin seberat 4.5 kilogram (kg) di Kepala Batas pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dengan penahanan lelaki itu, polis berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah di kawasan tersebut.

Menurutnya, serbuan pada jam 12 tengah hari itu berjaya menemui dadah yang disimpan di bahagian but kereta jenis Proton Wira yang dinaiki suspek.

"Dadah tersebut dibungkus di dalam 10 plastik lutsinar dan diletakkan di dalam satu bungkusan plastik kurier bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Ketika ditahan, suspek berusia 30 tahun itu dipercayai dalam proses menghantar bekalan dadah yang dianggarkan bernilai RM60,300," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, di sini pada Jumaat.

Noorzainy berkata, suspek merupakan salah seorang ahli sindiket yang dipercayai aktif mengedar dadah sejak dua bulan lalu.

"Suspek tidak mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. Bagaimanapun, dia memiliki satu rekod jenayah berkaitan kes melarikan orang.

“Kita juga dalam usaha mengesan saki-baki ahli sindiket atau rakan-rakan suspek yang terlibat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Noorzainy berkata, suspek direman enam hari sehingga Isnin untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.