Perhilitan NS pasang perangkap tangkap harimau kumbang

Anggota Perhilitan memasang perangkap kamera untuk mengesan spesies haiwan liar di kawasan belukar berdekatan Taman Seremban 3 pada Khamis. (Gambar kecil: Wan Mat)
Anggota Perhilitan memasang perangkap kamera untuk mengesan spesies haiwan liar di kawasan belukar berdekatan Taman Seremban 3 pada Khamis. (Gambar kecil: Wan Mat)
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan menafikan ada kelibat harimau kumbang di Taman Seremban 3, seperti yang didakwa penduduk.

Pengarahnya, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan di lokasi dan hanya menjumpai banyak kesan tapak kaki babi hutan di dalam kawasan belukar berhampiran taman tersebut.

Bagaimanapun katanya, untuk langkah keselamatan, pihaknya telah memasang satu unit perangkap kamera di kawasan belukar itu, bagi mengesan spesies hidupan haiwan liar lain, yang berkemungkinan berkeliaran di kawasan tersebut.

“Setakat ini, kami menafikan kehadiran haiwan tersebut (harimau kumbang), lagi pun di situ berhampiran dengan kawasan perumahan dan tidak logik ia berkeliaran di kawasan tersebut, kecuali ada mangsa seperti kambing dan sebagainya.

“Kami tidak boleh mengesahkan tanggapan penduduk bahawa itu adalah harimau, namun sekiranya mereka ada terserempak dengan haiwan itu, segera hubungi Jabatan Perhilitan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Tambahnya, khidmat nasihat telah diberikan kepada penduduk setempat, dan mereka dinasihatkan supaya segara hubungi pihak jabatan jika bunyi yang disyaki harimau kumbang itu masih berulang lagi untuk tindakan selanjutnya.

Pada Khamis, beberapa penduduk di Taman Seremban 3, mendakwa terdengar bunyi ngauman seakan harimau sekitar jam 8.30 pagi dan 10 malam.

Disebabkan itu, penduduk kemudiannya menghubungi Jabatan Perhilitan untuk mendapatkan bantuan susulan.

Artikel Berkaitan: