Jangkitan Covid-19 menurun kepada 11,889 kes

Bilangan kes baharu positif Covid-19 di Malaysia menurun kepada 11,889 kes hari ini. - Gambar hiasan
Bilangan kes baharu positif Covid-19 di Malaysia menurun kepada 11,889 kes hari ini. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Bilangan kes baharu positif Covid-19 pada Jumaat menurun kepada 11,889 berbanding hari sebelumnya, 12,735 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 179 kes atau 1.5 peratus adalah kategori tiga hingga lima.

"Sebanyak 11,710 kes atau 98.5 peratus lagi terdiri daripada kategori satu dan dua," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, peningkatan itu menjadikan kumulatif kes adalah 2,257,584.

Sarawak kekal melaporkan kes harian tertinggi iaitu 2,413 diikuti Selangor (1,568), Johor (1,217), Perak (959), Sabah (872), Kelantan (858), Pahang (831), Pulau Pinang (779), Kedah (710), Terengganu (699), Melaka (378), Kuala Lumpur (289) dan Negeri Sembilan (197).

Terdapat 81 kes di Perlis, Putrajaya (36) dan Labuan (dua).

Beliau berkata, seramai 904 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 492 memerlukan bantuan pernafasan.

"Sejumlah 15,891 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatifnya, 2,070,715 bersamaan 91.7 peratus daripada keseluruhan kes," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, 14 lagi kluster baharu Covid-19 dikenal pasti membabitkan tujuh kluster tempat kerja, enam kluster komuniti dan satu kluster keagamaan.

"Jumlah kluster adalah 5,491 dan 4,423 daripadanya telah diisytiharkan tamat manakala 1,068 masih aktif," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menyeru agar semua rakyat memainkan peranan dalam usaha membawa negara keluar daripada pandemik ini.

"Daftarkan diri dan keluarga bagi mendapatkan vaksinasi.

"Vaksinasi lengkap adalah antara langkah utama yang perlu dicapai bagi seluruh penduduk Malaysia agar kita dapat bersama-sama mengurangkan risiko penularan dan

jangkitan Covid-19 serta komplikasi serius atau kematian akibatnya," katanya.

Ujarnya, kepatuhan tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan perlu diteruskan.

"Jalani ujian saringan kendiri Covid-19 sekiranya bergejala dan jika positif, lakukan tindakan bertanggungjawab dengan mengasingkan diri," katanya.